Risiko jangkitan Covid-19 meningkat, KKM pantau kemasukan ke hospital


  • Primer
  • Jumaat, 12 Nov 2021

JUMLAH kemasukan ke hospital dikhuatiri akan meningkat sekiranya bilangan mereka yang menerima dos penggalak itu kekal rendah. — Gambar hiasan

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) kini sedang memantau kadar kemasukan ke hospital-hospital di seluruh negara susulan indikator kadar kebolehjangkitan Covid-19 (r-naught) Malaysia meningkat kepada angka 1.0 pada Jumaat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di akaun Twitter rasminya, turut menggesa individu yang telah diberi temu janji dos penggalak Covid-19, agar mengambil dos berkenaan.

"Warga emas, jika boleh, perlu mengelakkan tempat yang sesak. Amalkan #TRIIS (lakukan uji, lapor, asingkan, maklumkan, dapatkan rawatan segera),” ciap beliau.

Untuk rekod, nilai r-naught merujuk kepada tahap keberjangkitan kes Covid-19, iaitu berapa banyak kes yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Khairy sebelum ini mendedahkan, kira-kira 40 peratus individu yang menerima janji temu untuk vaksinasi dos penggalak di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tidak hadir untuk menerima suntikan itu.

Beliau berkata, jumlah kemasukan ke hospital akan meningkat sekiranya bilangan mereka yang menerima dos penggalak itu kekal rendah.

"Jika pengambilan dos penggalak adalah rendah, khususnya dalam kalangan warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi, jumlah kemasukan ke hospital akan meningkat. Ini sudah pasti,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa, individu yang menerima janji temu agar pergi mendapatkan suntikan dos penggalak itu bagi menguatkan imuniti dan perlindungan mereka terhadap Covid-19.

Pemberian dos penggalak bermula pada 13 Oktober lepas di seluruh negara untuk individu yang mendapat dos lengkap vaksin Covid-19 bagi memastikan imuniti yang diterima selepas dos lengkap dapat dikekalkan bagi tempoh optimum khususnya terhadap jangkitan varian Delta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram