RM32.92 juta pampasan sudah dibayar kepada waris mangsa Covid-19


  • Primer
  • Isnin, 15 Nov 2021

BAYARAN telah dibuat kepada 6,584 orang waris mangsa Covid-19 yang layak sehingga 1 November lalu.— AZHAR MAHFOF/The Star

KERAJAAN sudah membuat pembayaran sebanyak RM32.92 juta bagi Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 kepada 6,584 orang waris mangsa Covid-19 yang layak sehingga 1 November lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, pembayaran pampasan itu dibuat melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Bantuan ini tidak mempunyai tarikh luput dan disalurkan melalui Tabung Covid-19 Nadma daripada sumbangan orang ramai,” katanya ketika sesi penggulungan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang bertanya mengenai jumlah sumbangan dan pampasan telah disalurkan kepada waris mangsa Covid-19 di negara ini.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan yang dibangkitkan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) mengenai cadangan supaya kerajaan mewujudkan pangkalan data, Abdul Latiff berkata, kerajaan melalui Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) sedang membangunkan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS).

Beliau berkata, pangkalan data itu mengandungi maklumat profil rakyat Malaysia dan program-program perlindungan sosial daripada pelbagai kementerian atau agensi.

Jelasnya, PDPS akan menjadi 'single gateway' serta sumber rujukan utama program-program perlindungan sosial meliputi elemen pekerjaan, insurans sosial dan bantuan sosial.

“PDPS bagi Modul Bantuan Sosial dijangka siap dibangunkan pada Suku Pertama Tahun 2022,” ujarnya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram