Tiada kluster baharu Covid-19 direkodkan pada Ahad


  • Primer
  • Ahad, 14 Nov 2021

NOOR Hisham memaklumkan 5,019 kes sembuh dilaporkan pada Ahad.

KES harian Covid-19 menunjukkan perkembangan positif apabila tiada kluster baharu dilaporkan pada Ahad.

Bagaimanapun, jumlah kes baharu positif Covid-19 negara kekal melebihi paras 5,000 dengan sebanyak 5,162 kes direkodkan pada Ahad.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 5,162 kes jangkitan baharu, 104 kes atau dua peratus adalah Kategori Tiga, Empat dan Lima (melibatkan radang paru-paru, bantuan oksigen dan bantuan pernafasan) manakala 5,058 kes atau 98 peratus lagi adalah Kategori Satu dan Dua (tidak bergejala dan bergejala ringan)

"Sebanyak 524 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 265 lagi kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan di Twitter pada Ahad.

Tambah Noor Hisham, sebanyak 5,019 kes sembuh turut dicatatkan menjadikan kumulatif kes yang pulih daripada Covid-19 kini mencecah 2,451,216.

Selain itu, nilai kadar kebolehjangkitan atau R-Naught (Rt) negara pula adalah 1.05 berbanding 1.04 pada Sabtu.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram