KERAJAAN Negeri Kelantan setakat ini belum menerima sebarang laporan daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berkaitan penemuan dipercayai ketulan emas di Bukit Lata, Rantau Panjang.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sebarang tindakan akan diambil berdasarkan laporan yang diterima daripada dua jabatan terbabit.
"Kita akan tunggu laporan daripada pihak PTG dan JMG terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Restoran D' Terapung 7, di Pantai Sri Tujuh di Tumpat pada Isnin.
Sebelum ini tular di media sosial mengenai penemuan ketulan batu yang didakwa mengandungi emas di kawasan Bukit Lata, Rantau Panjang iaitu lokasi projek tebatan banjir sehingga menggemparkan penduduk setempat.
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, banyak kawasan di negeri ini dikesan mempunyai sumber emas seperti di Sokor Taku, Tanah Merah dan Jeli tetapi bilangan kuantitinya tidak diketahui.
"Kita sebenarnya ada maklumat mengenai kandungan emas di beberapa kawasan negeri ini cuma tidak mengetahui kuantitinya dan adakah ia berbaloi sekiranya dilombong," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram