Pukat punca feri bawa lebih 300 penumpang terkandas di Perlis


  • 112
  • Ahad, 14 Nov 2021

KEJADIAN berlaku kira-kira pukul 9 malam Sabtu ketika feri berkenaan berada tidak jauh dari Terminal Feri Kuala Perlis. — Bernama

SERAMAI 312 penumpang feri dari Langkawi terkandas lebih dua jam di perairan Kuala Perlis selepas kipas feri berkenaan tersangkut tali pukat yang dipasang nelayan di perairan itu.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam Sabtu ketika feri berkenaan berada tidak jauh dari Terminal Feri Kuala Perlis sebaik berlepas dari Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi pada pukul 8 malam.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd Kapten Baharin Baharom berkata pihaknya mendapatkan bantuan bot nelayan untuk menunda feri tersebut ke Terminal Feri Kuala Perlis.

"Ketika ini kerja-kerja penundaan masih berjalan dan keadaan penumpang adalah terkawal. Konsortium juga telah memohon bantuan daripada penyelam pasukan bomba bagi memotong pukat yang tersangkut pada propeller (kipas) feri," katanya dalam satu kenyataan.

Baharin berkata pihaknya turut menasihatkan nelayan supaya tidak memasang pukat di laluan feri bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa akan datang. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

feri, Langkawi, penumpang, terkandas, tersangkut