POLIS berjaya menahan seorang lelaki yang didakwa memukul seorang warga emas dengan menggunakan topi keledar sehingga rebah di stesen minyak Shell di Jalan Duta pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Brickdields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian itu berlaku selepas suspek berasa tidak puas hati kerana kereta mangsa mendahului motosikalnya ketika menunggu giliran untuk mengisi minyak
"Pihak polis pada 13 November 2021 telah menjalankan tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan berumur 38 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.
"Suspek yang bekerja sebagai pemandu peribadi direkodkan mempunyai satu rekod jenayah dadah berbahaya pada tahun 2010 dan masih dikehendaki Polis bersabit kes tersebut.
"Hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek pada 13 November 2021 didapati negatif," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, polis turut merampas pakaian yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa kejadian, sebuah motosikal jenis Modenas Kriss MR3 dan sebuah helmet yang digunakan untuk memukul mangsa.
Dalam kejadian tular di media sosial sejak Sabtu itu, suspek dilihat bertengkar dengan mangsa sebelum bertindak memukulnya dengan topi keledar.
Mengulas lanjut, Amihizam berkata, mangsa berusia 64 tahun itu telah menerima rawatan hospital dan dibenarkan keluar wad pada 14 November 2021.
"Keterangan lanjut mangsa akan dirakam apabila mangsa telah benar-benar pulih dan bersedia untuk beri keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata. Suspek telah dibawa ke hadapan Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan tahanan reman di bawah Sek. 117 Kanun Prosedur Jenayah dan dibenarkan selama (3) hari sehingga 16 November 2021," katanya.
Amihizam meminta saksi di tempat kejadian supaya tampil ke balai polis berdekatan untuk memberi keterangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram