Ahmad Maslan nafi dakwaan Bersatu


  • Politik
  • Ahad, 14 Nov 2021

AHMAD Maslan mendakwa dua bekas Adun BN tersebut terima tawaran jawatan Ketua Menteri dan Exco.

SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan dakwaan wujud pertelingkahan dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) sehingga tercetusnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa berlaku pertelingkahan melibatkan Adun Melaka yang sebelum ini bernaung di bawah BN iaitu Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan.

Ujar Ahmad, tindakan empat Adun menarik sokongan terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali didakwa kerana ditawarkan jawatan sebagai Ketua Menteri atau Exco negeri oleh pihak lain.

"Saya tahu, saya dengar cerita dan saya pergi ke Pantai Kundor semua ini.

"Dia beritahu pada seseorang bahawa dia akan dapat jawatan Exco Kanan. Situasi itu bukan kerana kita (BN) tetapi kerana mendapat tawaran daripada pihak tertentu," ujarnya dalam program Menjawab Isu Edisi Khas melalui siaran langsung di Facebook Umno Online pada Ahad.

Pada 4 Oktober lalu, empat Adun kerajaan Melaka mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

Mereka ialah Idris (BN-Sungai Udang), Nor Azman (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram