POLIS mengenalpasti pemandu Perodua Myvi yang tular di laman sosial Facebook kerana berada di lorong motosikal di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke Jambatan Pulau Pinang pada petang Khamis.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut Pulau Pinang, Asisten Komissioner Polis, Soffian Santong, pemandu berkenaan merupakan seorang wanita warga emas berusia 77 tahun.
"Hasil semakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis (IPD) Timur Laut mendapati kenderaan tersebut didaftarkan dibawah nama wanita berkenaan yang beralamat di Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
"Berdasarkan siasatan, dalam kejadian yang berlaku pada pukul 5.30 petang itu tiada kecederaan mahupun kerosakan harta benda awam atau persendirian yang berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau lagi, pihaknya memandang serius terhadap insiden tersebut dan akan menjalankan siasatan sewajarnya demi keselamatan oranga awam.
Jelas Soffian lagi, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi peraturan jalan raya serta peka dengan arahan papan tanda lalu lintas.
"Sila laporkan kepada pihak polis sekiranya terdapat sebarang aktiviti pemanduan yang menyalahi peraturan lalu lintas," ujarnya.
Terdahulu pada Jumaat, tular satu video berdurasi 11 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun media sosial Facebook Penang Kini yang memaparkan sebuah kenderaan jenis Myvi yang berada di lorong motosikal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram