PADA Jumaat, tular satu video yang menunjukkan sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu secara berbahaya menyebabkan kemalangan melibatkan dua buah motosikal.
Menerusi video kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsi pengguna Facebook, Ahamad Iwan Affie itu, kereta berwarna merah tersebut yang berada di tepi jalan mahu melakukan pusingan U ke jalan yang bertentangan.
Tindakan pemandu kereta yang melakukan pusingan U secara melulu menyebabkan dua buah motor yang datang dari belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta tersebut.
Salah seorang penunggang motor dilihat terhincut-hincut sebelum terbaring di atas jalan akibat pelanggaran tersebut.
Berdasarkan rakaman video itu, kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada 9 November lalu kira-kira pukul 4 petang di hadapan sebuah masjid.
Orang ramai yang berada di lokasi kejadian kemudiannya dilihat membantu penunggang pertama yang melanggar kenderaan tersebut tetapi nasibnya tidak diketahui.
Buat masa ini, masih belum dapat dipastikan lokasi kejadian tersebut dan pihak berkuasa juga masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan tentang insiden berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram