Nak pinjam RM20,000 tapi rugi lebih RM13,000, juruteknik diperdaya macau scam


  • 112
  • Ahad, 17 Okt 2021

WAZIR memaklumkan bahawa mangsa membuat lima transaksi pembayaran secara dalam talian ke tiga akaun berbeza. — The Star

SEORANG juruteknik di Mentakab, Temerloh, Pahang kerugian lebih RM13,000 selepas diperdaya pinjaman wang tak wujud di laman sosial Facebook.

Mangsa, seorang lelaki berusia tahun 24 tahun, awalnya berminat dengan sebuah iklan dari syarikat pinjaman wang itu dan mahu memohon pembiayaan kewangan sebanyak RM20,000.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa telah menghantar mesej menerusi aplikasi permesejan WhatsApp kepada nombor yang tertera pada iklan berkenaan.

"Mangsa kemudian telah diminta untuk menyerahkan maklumat peribadi seperti gambar kad pengenalan, penyata bank dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta slip gaji.

"Dia kemudian diarahan suspek untuk membuat lima transaksi pembayaran secara dalam talian ke tiga akaun berbeza yang bertujuan untuk duti setem, cukai dan pembukaan akaun VIP," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambahnya lagi, jumlah kesemua transaksi berkenaan mencecah jumlah RM 13,310.

Jelas Wazir lagi, mangsa kemudian dimaklumkan supaya menunggu wang pinjaman yang dipohon masuk ke dalam akaun.

"Bagaimanapun, tidak lama kemudian, mangsa dihubungi lagi oleh pihak syarikat yang menyatakan bahawa terdapat masalah untuk memindahkan wang dan dia diminta untuk membuat pembayaran lagi.

"Terasa seperti ditipu, mangsa kemudian telah ke balai polis Mentakab untuk membuat laporan berhubung perkara berkenaan pada Sabtu," ujarnya.

Kata Wazir lagi, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun serta sebat dan boleh didenda. — Majoriti