'Timbang ikan, maklum harga sebelum pelanggan buat keputusan'


  • Massa
  • Isnin, 08 Nov 2021

PENIAGA disaran menimbang barangan basah di hadapan pelanggan dan memaklumkan harga sebelum pelanggan membuat keputusan memesan makanan tersebut atau sebaliknya. — Gambar hiasan/ The Star
PENIAGA restoran disaran supaya mempamerkan harga dan memberi penerangan lebih jelas kepada pelanggan untuk mengelak kekeliruan terutamanya bagi makanan yang melibatkan harga timbang secara gram atau kilogram.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, kebanyakan pelanggan tidak memahami atau kurang jelas mengenai harga yang dipamerkan di restoran terutamanya dalam penjualan barangan basah seperti ikan.

"Kebiasaannya harga barangan basah seperti ikan dijual dalam bentuk gram, namun berat ikan tersebut selalunya boleh mencecah lebih satu kilogram menyebabkan pelanggan keliru dengan harga yang dipaparkan dalam gram, jadi pelanggan perlu mengira sendiri jumlah harga sebenar.

"Sebab itu perlu ada satu tanda harga dan penerangan yang jelas supaya pelanggan faham bagaimana pengiraan harga yang ditetapkan sebelum membuat keputusan,” katanya.

Yusof berkata, komunikasi antara peniaga dan pelanggan juga penting bagi mengelak kekeliruan iaitu peniaga perlu membuat timbangan dan memaklumkan harga ikan terbabit kepada pelanggan.

"Peniaga perlu menimbang barangan basah di hadapan pelanggan dan memaklumkan harga sebelum pelanggan membuat keputusan memesan makanan tersebut atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Zuraidah Zainol berkata, pengguna kebiasaannya mempunyai tanggapan harga ikan yang ditawarkan oleh penjual di restoran adalah sama seperti di pasar.

Beliau berpendapat, pengguna seharusnya membuat persediaan terlebih dahulu mengenai restoran yang hendak dikunjungi agar tidak berlaku perselisihan faham dengan penjual terutamanya mengenai harga makanan.

Baru-baru ini, tular kisah seorang pengguna Facebook yang melahirkan rasa terkejut kerana dikenakan bayaran RM1,196.80 untuk hidangan ikan siakap di sebuah restoran terapung di Langkawi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram