PENDUDUK di luar bandar perlu sedar mereka sebenarnya bertuah kerana tinggal di kawasan seperti resort," kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau berkata, panorama kampung yang memiliki keindahan semula jadi seperti sungai dan dusun buah-buahan menjadikan suasananya dirasai seakan-akan berada di resort.
Bagaimanapun, katanya, hal itu tidak disedari sebilangan penduduk luar bandar dan ia menjadi cabaran kepada kementerian untuk memberi kesedaran dalam mengangkat martabat kampung menjadi lebih dinamik.
"Orang kampung sebenarnya duduk dalam resort, tapi dia tak perasan dia duduk dalam resort. Ada pokok buah-buahan, ada sungai, ada rumah dengan fasiliti air dan elektrik mencukupi," katanya.
Mahdzir berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Sembang Santai Bersama Media di Kuala Lumpur pada malam Khamis.
Beliau berkata, satu bentuk anjakan paradigma dari segi pemikiran perlu diterapkan dalam kalangan penduduk desa supaya mereka menyedari perkara tersebut dan berbangga dengannya.
"Jika ada anjakan paradigma kepada cara mereka lihat situasi ini, melihat bagaimana masyarakat luar bandar di Korea dan Jepun (hidup di desa), barangkali dia tak ke mana-mana dah.
"Justeru, kena beri kesedaran dan ubah pemikiran mereka dalam usaha meningkatkan martabat kampung," ujarnya.
Tambah Mahdzir, dalam hal ini, beliau percaya sektor swasta boleh membantu kementerian, namun ia perlu disokong dengan peruntukan bajet mencukupi daripada kerajaan.
"Kementerian boleh menjadi fasilitator atau moderator, tapi mereka (sektor swasta) boleh bantu untuk meneliti perkara ini secara lebih luas demi kesejahteraan masyarakat desa," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram