Lelaki ditahan lepas cabul nenek di Pasir Gudang


  • 112
  • Khamis, 11 Nov 2021

SEMAKAN rekod lampau mendapati suspek juga mempunyai empat rekod jenayah termasuk tiga membabitkan dadah. — The Star

SEORANG penjual barangan lusuh ditahan pihak polis kerana disyaki mencabul seorang wanita warga emas selepas memecah masuk sebuah rumah kebajikan orang tua di Seri Alam, Pasir Gudang, Johor pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, penahanan suspek itu dilakukan susulan satu laporan polis yang dibuat oleh pemilik rumah kebajikan berkenaan.

"Mereka mendakwa pihaknya telah merakam satu perbuatan memecah masuk ke premis berkenaan.

"Hasil maklumat risikan, suspek yang juga lelaki warga tempatan berusia 45 tahun, ditahan di kawasan sekitar Desa Cemerlang, Pasir Gudang kira-kira jam 8 malam," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau lagi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada jam 12.30 tengah malam Rabu (10 November) mendapati seorang lelaki telah memecah masuk premis melalui tingkap bahagian bawah premis yang tidak bertutup.

Jelasnya, dalam rakaman CCTV, suspek juga dilihat telah melakukan perkara yang tidak senonoh (mencabul) terhadap seorang mangsa wanita berusia 71 tahun yang juga penghuni rumah kebajikan berkenaan.

"Penahanan suspek itu turut membawa kepada penemuan beberapa barangan termasuk pakaian yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek juga mempunyai empat rekod jenayah termasuk tiga membabitkan dadah," ujarnya.

Menurut Mohd Sohaimi lagi, suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari sehingga Rabu (17 November). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram