Dakwa dicabul JAIS, Sajat belum buat laporan — Polis


  • 112
  • Khamis, 21 Okt 2021

SAJAT kini dikatakan menetap di Sydney, Australia. — AFP

POLIS mengesahkan belum menerima laporan yang mendakwa pengusaha kosmetik kontroversi, Nur Sajat diserang secara seksual oleh pegawai penguat kuasa jabatan agama ketika ditangkap pada awal 2021.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, polis hanya menerima laporan bahawa Nur Sajat mendakwa telah dikasari ketika penangkapan dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Januari lepas.

"Kami membuka siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

"Tidak ada laporan mengenai serangan seksual atau penganiayaan dalam laporan polis," katanya kepada Majoriti pada Khamis.

Mengenai kenyataan Nur Sajat yang mendakwa dikasari ketika penahanan dibuat, Arjunaidi begitu pun menjelaskan siasatan masih dijalankan.

Terdahulu, Nur Sajat mendakwa dia dicabul ketika ditangkap JAIS semasa kejadian.

“Mereka (JAIS) menganggap ia (tindakan cabul) wajar kerana beranggapan saya sebagai lelaki.

"Mereka tidak memperlakukan saya dengan belas kasihan atau kemanusiaan," kata Nur Sajat yang dipetik dalam laporan agensi berita New York Times, sebuah organisasi berita yang berpusat di Amerika Syarikat pada Rabu.

Menurut laporan New York Times, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman,36, mendakwa buah dadanya diramas manakala alat sulitnya turut disentuh penguatkuasa terbabit.

Pengusaha kosmetik itu yang kini menetap di Sydney, Australia mendakwa, ibunya turut menyaksikan kejadian itu apabila sekurang-kurangnya tiga pegawai JAIS didakwa terlibat semasa penangkapan dibuat.

Nur Sajat turut mendakwa ibunya telah meminta penjelasan daripada JAIS namun diberitahu tindakan mereka tidak mengundang apa-apa kesalahan kerana Nur Sajat adalah "seorang lelaki".

Ketika ini, Nur Sajat dilaporkan melarikan diri ke luar negara sejak beberapa bulan lepas kerana disiasat atas tuduhan berpakaian sebagai wanita.

Dia dilaporkan ditahan dan didenda oleh pihak berkuasa Thailand pada 8 September kerana memiliki pasport yang tidak sah.

Namun, Nur Sajat kemudiannya dipercayai mendapatkan perlindungan apabila dilaporkan memiliki kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram