Guru lelaki di Thailand cabul murid sejak 2018


  • Benua
  • Sabtu, 16 Okt 2021

NARONG (tengah) bercakap kepada media selepas menerima laporan berhubung kes penderaan seksual itu pada Jumaat. — Agensi

SEORANG guru lelaki di Thailand didakwa melakukan penderaan seksual terhadap murid lelaki berusia 11 tahun selama tiga tahun sejak 2018.

Menurut laporan media tempatan, kanak-kanak tersebut pernah memberitahu pihak sekolah tentang kelakuan guru berkenaan namun tiada sebarang tindakan diambil kerana kekurangan bukti kukuh.

Kanak-kanak terbabit baru-baru ini mendedahkan tentang perbuatan guru itu kepada ibu bapanya selepas dikatakan tidak tahan dengan penderaan seksual yang dialaminya.

Berikutan itu, ibu bapa kanak-kanak berkenaan membuat laporan polis pada Jumaat.

Guru tersebut turut didakwa melakukan jenayah tersebut terhadap sekurang-kurangnya lima orang murid lelaki dari Gred 3 hingga 6 di dalam bilik air sekolah.

Difahamkan, guru terbabit masih mengajar di sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, aktivis anti jenayah, Achariya Ruangratanapong berkata, segelintir murid takut sekiranya guru berkenaan cuba mendekati mereka kerana mengetahui tentang sikapnya.

Tambah Achariya, pihak sekolah tersebut menghubungi beliau untuk menyelesaikan kes terbabit namun ditolak oleh ibu bapa kanak-kanak itu.

Ujar beliau lagi, tindakan undang-undang akan diambil ke atas pihak sekolah itu sekiranya mereka terus membiarkan isu tersebut berlaku.

Sementara itu, pegawai polis tempatan, Kolonel Narong Teswibul berkata, pihaknya menerima maklumat daripada kanak-kanak tersebut dan guru berkenaan akan dipanggil untuk siasatan. — Agensi

Thailand, dera, kanak-kanak, aktivis