Polis siasat anggota enggan terima laporan kes cabul


  • Berita
  • Sabtu, 23 Okt 2021

KES berkenaan tular di Facebook sejak dua hari lalu. — Agensi

POLIS Daerah Timur Laut, Georgetown, Pulau Pinang menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan seorang anggotanya enggan menerima laporan polis berhubung kes cabul, seperti yang tular di media sosial sejak dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya juga memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan adil berhubung dakwaan tersebut.

"Jika terkesan terdapat salah laku dan kecuaian dalam melaksanakan prosedur penugasan, tindakan tatatertib akan dikenakan kepada semua pegawai atau anggota yang terlibat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, tindakan enggan menerima laporan daripada orang awam oleh pegawai atau anggota polis merupakan satu kesalahan yang amat serius dan tidak boleh dikompromi.

"Selepas dakwaan itu tular, polis memanggil pengadu kes berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk diambil keterangan dan bagi mengesahkan dakwaan sepertimana yang ditularkan.

"Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul kehormatan," ujarnya.

Pada 21 Oktober lalu, tular satu hantaran di Facebook Urban Life Volunteers yang mendakwa kononnya anggota polis dari IPD Timur Laut enggan menerima laporan polis yang hendak dibuat oleh seorang mangsa cabul, dipercayai berlaku di dalam sebuah tandas wanita di Komtar.

Ramai pihak termasuk beberapa orang persendirian dan badan bukan kerajaan tampil memberi pendapat masing-masing yang kebanyakannya menyalahkan polis kerana didakwa tidak mahu menerima laporan mangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram