TINDAKAN Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu ketika Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland menarik perhatian warganet.
Sebelum ini, Tuan Ibrahim dikecam oleh warganet kerana tidak hadir ke persidangan berkenaan kerana takut untuk berbahasa Inggeris.
Video ucapannya selama kira-kira tiga minit yang tular pada Khamis mengundang reaksi warganet di media sosial.

Antara komen warganet di media sosial. — Twitter
"Ada pemimpin dunia yang tak reti Bahasa Inggeris. Mereka berucap guna bahasa ibunda mereka dan boleh guna jurubahasa. Apa yang nak dimalukan jika tidak tahu berbahasa Inggeris. Kita adalah diri kita. Bahasa kita, negara kita Tanah Melayu," kata seorang pengguna Twitter, @anfieldmama.
"Permulaan yang baik untuk yang lain. Harap lepas ini semua menteri atau wakil kerajaan berucap dekat luar negara cakap bahasa Melayu," ujar seorang lagi pengguna Twitter, @aslamramli. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
