SEORANG pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah, Melaka disahkan positif Covid-19 selepas menghadiri program yang dianjurkan bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Pengarah Kesihatan Melaka.
Dr Rusdi Abd Rahman berkata, perkara itu diketahui apabila ujian saringan dilakukan terhadap tujuh pelajar yang didakwa positif Covid-19 selepas menghadiri program tersebut.
"Semalam (kelmarin) dimakumkan ada tujuh orang simptomatik. Keputusan ujian saliva mendapati seorang pelajar positif.
"UiTM mengambil tindakan untuk mengasingkan semua yang hadir ke program itu. Seramai 40 orang disaring dan siasatan masih diteruskan," katanya seperti dilaporkan Malaysia Now.
Terdahulu, tular di media sosial berkenaan dakwaan yang mengatakan sebanyak tujuh pelajar UiTM positif Covid-19 selepas menghadiri majlis politik anjuran parti Barisan Nasional (BN) Melaka pada 4 hingga 7 November lalu.
Menurut hantaran tersebut, semua pelajar itu pulang ke kampus pada Ahad lalu selepas tamat program di Villa D Aqua, Masjid Tanah, Melaka.
“Bila pulang ke kampus, daripada berpuluh pelajar, tujuh didapati positif Covid-19," katanya.
Menurut hantaran itu, keesokan harinya pada 8 November penyokong-penyokong BN berkumpul di villa tersebut bersarapan pagi sebelum pergi ke pusat penamaan calon untuk mengiringi pengerusi Melaka, Ab Rauf Yusoh.
Turut hadir pada pagi itu ialah bekas perdana menteri Najib Razak dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk memberikan sokongan kepada Rauf. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
