
TIDAK perlu memandu laju ketika musim hujan, itu nasihat seorang pengguna laman sosial Facebook, Route 8 Car Wash mengulas tentang satu insiden yang dikongsi dalam satu hantarannya pada Isnin.
Route 8 Car Wash berkongsi rakaman video kamera perakam dashcam berhubung satu kejadian sebuah teksi Proton Wira yang terbabas di persimpangan lampu isyarat di Jalan Templer, Petaling Jaya, Selangor, gara-gara memandu laju ketika hujan.
Video berdurasi 1 minit 49 saat itu memaparkan teksi berkenaan pada mulanya berada di belakang perakam sebelum bertindak memotong dan terus memecut laju menghala ke arah persimpangan tersebut.
Pemilik dashcam yang melalui jalan sama kemudian terkejut selepas melihat teksi yang memotongnya sebelum itu terbabas di pembahagi simpang antara susur kiri dan kanan.
Dalam video itu, perakam turut mentertawakan pemandu teksi berkenaan yang kelam kabut melihat keadaan kenderaannya.
Berdasarkan video itu juga, pemandu yang dipercayai berbangsa India juga kesal dengan apa yang berlaku.
Pemilik akuan turut berkongsi nasihat dalam statusnya supaya periksa tayar kenderaan dan pastikan selamat sebelum memulakan perjalanan.
"Jangan laju ketika jalan licin," kongsinya lagi.
Perkongsian Route 8 Car Wash menunjukkan bahawa tindakan memandu laju ketika jalan licin boleh mengundang bahaya bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain.
Kejadian ini boleh dijadikan iktibar tidak kira dalam apa jua keadaan, memandulah dengan cara berhemah ketika musim hujan, jangan kerana lagak laju membawa padah pada akhirnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram