Kebanyakan dakwaan Edisi Siasat sengaja diada-adakan — Ketua Polis Negara


  • 112
  • Isnin, 08 Nov 2021

ANTARA ciapan di laman Twitter akaun Edisi Siasat pada bulan lalu.

KEBANYAKAN berita salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah oleh pengendali akaun Twitter @edisi_siasatmy di media sosial, adalah berita yang sengaja diada-adakan, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata, akaun media sosial berkenaan dibuat bagi mewujudkan satu suasana sensasi dengan menyiarkan berita-berita mengenai penyelewengan dalam kalangan agensi kerajaan.

“Sebanyak 13 kertas siasatan telah dibuka melibatkan akaun Twitter berkenaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengenal pasti individu yang berada di sebalik akaun media sosial tersebut,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai pendedahan pemilik akaun Twitter berkenaan yang mendakwa segelintir pegawai kanan polis dipercayai terlibat masalah salah laku, selain mendakwa pengurusan tertinggi sebuah badan pencegahan rasuah melindungi sindiket jenayah dan terlibat dengan rasuah.

Sebelum ini, PDRM menerima 11 laporan polis daripada individu yang dikaitkan dengan dakwaan kes salah guna kuasa dan rasuah, menerusi pendedahan akaun Twitter tersebut.

Acryl Sani berkata, dakwaan melibatkan PDRM diserah kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, untuk disemak kebenarannya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PDRM akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dipatuhi semua pihak.

“Pada malam nanti, insya-Allah saya akan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka untuk mendengar taklimat daripada Ketua Polis Negeri, mengenai SOP dan gerak kerja bagi polis memastikan setiap panduan dilaksanakan sebaik mungkin, sepanjang tempoh PRN,” katanya.

PRN Melaka bermula Isnin dengan proses penamaan calon dan tarikh mengundi ditetapkan pada 20 November depan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram