PRN Melaka: Calon Ketua Menteri penentu kejayaan parti bertanding


  • Massa
  • Selasa, 09 Nov 2021

DEBARAN menanti calon dan rakyat menjelang PRN Melaka yang akan diadakan pada 20 November ini. — Gambar hiasan/Bernama

CALON Ketua Menteri (KM) yang diketengahkan bakal menjadi penentu kejayaan parti-parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini, kata penganalisis politik.

Pensyarah Kanan di Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Alsagoff berkata, keperibadian dan kewibawaan calon KM yang dipilih adalah salah satu indikator yang akan menentukan sama ada parti yang bertanding mendapat tempat di hati rakyat atau tidak.

"Rakyat akan melihat kepada pemimpin yang diketengahkan, bagaimana seseorang itu telah berkorban untuk rakyat serta memberi sumbangan kepada pengundi di kawasan mereka.

"Wujudnya pemimpin yang berwibawa akan memberi perubahan dan juga lonjakan paradigma dalam dunia politik dan juga kemasyarakatan serta pembangunan di Melaka," katanya kepada Majoriti.

Selain itu, beliau berkata, rakyat Melaka juga akan cenderung memilih parti yang boleh memberi ketenteraman kepada lanskap politik di negeri itu.

Katanya, selepas melihat beberapa insiden yang membawa kepada krisis politik di negeri itu sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, rakyat negeri itu sangat dambakan kestabilan dan kesejahteraan politik.

"Suasana politik tu harus digambarkan dengan lebih baik dan positif supaya masyarakat dapat menikmati satu iklim politik yang lebih bersih, murni dan tidak berasaskan kepada politiking.

"Saya juga berpendapat bahawa calon-calon muda harus diketengahkan kerana ini akan menunjukkan darah muda boleh dipilih untuk menjadi wakil rakyat dan mewakili generasi muda di negeri Melaka," ujarnya.

Mengenai keputusan Pakatan Harapan (PH) menerima dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno, Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hasan menyertai gabungan itu, Syed Agil melihat perkara itu dapat memberi impak yang positif serta negatif bagi parti itu.

Katanya, parti itu akan menerima manfaat dari segi pengaruh yang dibawa kedua-dua ADUN itu ketika mereka menjadi wakil rakyat sebelum ini.

"Tetapi, ia juga akan menyebabkan berlakunya gangguan kepada reputasi parti dan menyebabkan ada sebahagian ahli parti yang tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan yang menerima masuk mereka.

"Kita juga lihat ketika PRN Sabah tempoh hari, ada pemimpin yang melompat parti tewas di kerusi mereka kerana tidak lagi diterima oleh masyarakat," katanya.

Senario itu jelasnya, memberi satu kesedaran kepada ahli politik yang berhasrat melompat parti supaya tidak memanipulasikan pengaruh politik dan kedudukan mereka untuk berpindah kepada parti lain sesuka hati. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram