Calon PN 'bersih', sedia gempur Melaka — Wan Saiful


  • Politik
  • Isnin, 08 Nov 2021

PETUGAS SPR melakukan simulasi sebagai persediaan menjelang hari penamaan calon PRN Melaka pada Isnin. — Bernama

PERIKATAN Nasional (PN) yakin dengan kemampuan semua calon yang diumumkan oleh parti berkenaan dalam mengharungi 'cabaran' pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Penerangan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kesemua calon tidak memiliki sejarah penyelewengan, tidak melakukan rasuah dan tiada salah laku memperkayakan diri sendiri.

"Jadi kami menawarkan kerajaan berintegriti dan bersih kepada rakyat Melaka.

"Kita ada ramai calon wanita, calon muda dan majoriti calon adalah muka baharu yang ditawarkan dalam politik," jelasnya pada Ahad.

Tambah Wan Saiful, calon-calon berkenaan juga menunjukkan hubungan antara parti-parti gabungan semakin kukuh.

Selain itu, pembahagian kerusi dan calon berjaya dirunding dengan cara harmoni, tiada sebarang protes serta pertelagahan.

Ujarnya lagi, PN sudah bersedia dengan tawaran-tawaran menarik untuk rakyat Melaka termasuklah mewujudkan kerajaan yang stabil dan boleh berkhidmat untuk warga negeri tersebut.

Bagaimanapun katanya, tawaran atau manifesto tersebut akan diperincikan dalam pelancaran akujanji dan manifesto tidak lama lagi.

“Dari segi persediaan PRN, kita memang sudah bermula sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan dan jentera sudah bergerak. Ini termasuklah jentera penerangan yang kita sudah susun di setiap DUN di Melaka, semua ada wakil.

“Kita juga ada rumah penerangan dan pusat untuk proses kempen yang sudah berfungsi. Di peringkat PN sendiri, kita sudah bersedia dan berusaha agar mesej kempen itu sampai kepada pengundi,” menurutnya lagi. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram