Polis tahan sembilan individu pukul dua beradik tuntut hutang di Klang


  • 112
  • Isnin, 08 Nov 2021

KESEMUA suspek menyerang menggunakan parang dan pisau. — Gambar hiasan

SERAMAI sembilan lelaki ditahan selepas didakwa menyerang dua individu dalam satu kejadian di hadapan sebuah rumah di Taman Sentosa Klang, Klang, Selangor pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian tersebut berpunca apabila mangsa iaitu seorang tukang cuci kereta bersama adik lelakinya, menuntut hutang sebanyak RM2,200 yang dipinjam oleh adik saudaranya kerana mangsa tidak cukup wang untuk berkahwin.

"Sekumpulan lelaki yang menaiki dua kereta jenis Proton Wira dan Hyundai menyerang mangsa serta adik lelakinya dengan menggunakan senjata parang dan pisau.

"Namun hanya adik lelaki mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka akibat ditumbuk suspek sewaktu cuba menahan suspek daripada menyerang mangsa.

"Jiran mangsa kemudian membantu menyuraikan dan menghalau semua suspek beredar dari lokasi kejadian," ujarnya menerusi kenyataan pada Ahad.

Ujar Shamsul Amar, pihaknya menahan kesemua suspek berusia 21 hingga 27 tahun di Taman Sri Sentosa, Klang, Selangor pada pukul 1.30 pagi Ahad selepas menerima maklumat.

"Kita turut merampas sebuah kereta Proton Wira, dua bilah parang, satu bilah pisau lipat dan satu beg sandang," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Shamsul Amar Ramli, PDRM, Klang, pukul, hutang