13 motosikal musnah dijilat api di Flat Desa Mawar di Farlim, punca angkara khianat masih disiasat


  • 112
  • Selasa, 09 Nov 2021

OPERASI memadamkan api tamat sepenuhnya pada 4.46 pagi. — Gambar ihsan bomba

SEBANYAK 13 motosikal yang diparkir di Blok 3 Flat Desa Mawar di Farlim, Georgetown, Pulau Pinang musnah dalam kebakaran awal pagi Selasa.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Sharel Anuar Mawardy berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.12 pagi dan jentera tiba di lokasi kebakaran kira-kira sembilan minit kemudian.

"Ketika pihak bomba tiba, api sedang marak di kawasan tempat meletak kenderaan di situ dan kami mengambil masa mengawal kebakaran dalam tempoh enam minit bagi mengelak api merebak di kawasan tersebut.

"Sebanyak 13 buah motosikal yang diletakkan di situ hangus musnah dalam kebakaran, punca kejadian masih dalam siasatan," katanya pada Selasa.

Beliau berkata, kebakaran itu tidak melibatkan kenderaan lain yang turut diletakkan di kawasan parkir berkenaan serta tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi tamat sepenuhnya pada 4.46 pagi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bomba, kebakaran, motosikal, Flat Desa Mawar