PERBEZAAN dari segi kos sewa bulanan dengan membandingkan antara harga yang murah dan mahal tidak seharusnya digunakan kerajaan dalam memberi justifikasi pemilihan Kenderaan Rasmi Jawatan (KJR) jemaah menteri.
Pakar geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, kerajaan sepatutnya menggunakan kereta buatan negara iaitu jenama Proton sebagai KRJ sebagai satu manifestasi bahawa industri automotif negara bersifat kompetitif dan diyakini.
"Tidak kira apapun model, KRJ sepatutnya guna kereta nasional iaitu Proton untuk mempromosikan kepada rakyat di dalam mahupun di luar negara bahawa kerajaan mengiktiraf produk tempatan.
"Kalau negara lain yang ada industri automotif tersendiri, contoh Korea Selatan, United Kingdom dan Amerika Syarikat, mereka guna kereta jenama sendiri dan berbangga dengannya. Jadi mana letaknya keyakinan rakyat terhadap produk buatan negara," katanya kepada Majoriti.

AZMI mengulas isu kos sewaan bulanan KRJ. — The Star
Azmi berkata demikian sebagai respons terhadap penjelasan lemah Kementerian Kewangan yang mendakwa kononnya Toyota Vellfire itu lebih jimat dari segi sewa bulanan berbanding model sebelumnya, yang mana jawapan itu dikecam netizen kerana perbezaan penjimatan hanya kira-kira RM3.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, dasar penggunaan KRJ juga perlu diubah dengan menetapkan pemakaian kereta model tempatan supaya dapat membina serta memperkukuhkan keyakinan dalam kalangan rakyat terhadap kualiti produk nasional.
"Selain kenderaan, perkara lain yang berkaitan produk tempatan juga perlu dipandang berat kerana sebagai kerajaan, mereka perlu mementingkan barangan buatan Malaysia terlebih dahulu.
"Sebagai ahli jemaah menteri, mereka seharusnya sedar bahawa mereka ialah duta secara tidak langsung kepada jenama tempatan dan wajarlah lebih berbangga dengan nilai produk buatan sendiri," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau berkata, episod ini harus menjadi pengajaran kepada kerajaan bahawa industri nasional tidak kira apa pun sepatutnya disokong oleh kerajaan sebelum dicontohi rakyat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
