KERAJAAN digesa supaya mewajibkan terlebih dahulu kementerian dan agensi-agensi di bawahnya supaya membayar pelajar yang mengikuti program latihan industri (praktikal) dengan elaun RM900, seperti mana yang dicadangkan kepada pihak swasta.
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Wafiq Azman berkata, kerajaan harus menjadi contoh terlebih dahulu kepada pihak swasta memandangkan ia mempunyai kemampuan yang cukup untuk berbuat demikian.
"Pada saya elaun RM900 itu sudah cukup tinggi dan jika betul kerajaan membayar pelajar praktikal seperti itu, memang sangat bersyukur.
"Tetapi, apa yang penting adalah pelajar yang menjalani latihan di mana-mana kementerian serta agensi-agensi di bawahnya wajib mendapat elaun," katanya kepada Majoriti.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 menggesa pihak swasta memberi elaun sekurang-kurangnya RM900 kepada pelajar yang menjalani latihan industri.
Mengulas lanjut, Wafiq berkata, bagi pihak swasta, syarikat-syarikat kecil seperti perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mungkin agak terbeban untuk membayar jumlah sebesar itu.
Tetapi, jelasnya, pelajar sentiasa boleh berbincang dengan syarikat yang dipilih mengenai nilai elaun yang dirasakan wajar.
Tambahnya, apa yang penting bagi pelajar praktikal adalah pendedahan dan manfaat yang diperoleh ketika mengikuti latihan industri.
"Sebelum ini pun ada isu yang timbul apabila mahasiswa diminta untuk membuat kerja-kerja 'picisan' seperti membancuh kopi, menghantar barang dan sebagainya, itu semua memang jauh daripada bidang yang dipelajari.
"Pada saya, jika suasana syarikat itu bagus dan ia menyediakan satu program latihan yang bermanfaat kepada pelajar sesuai dengan bidang yang dipelajari, elaun sekitar RM400 hingga RM500 sudah mencukupi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram