PROGRAM bermanfaat seperti Biro Tata Negara (BTN) perlu lebih kerap dianjurkan dalam usaha menghentikan kes buli yang semakin serius di negara ini.
Menurut penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim, program-program yang berunsurkan buli perlu dihentikan terutamanya melibatkan hal yang menghimpunkan antara senior dan junior.
Jelasnya, program yang berunsurkan buli hanya akan mengakibatkan kecederaan.
"Buli yang berlaku pada hari ini agak serius. Apabila tabiat buli ini berterusan, kesannya akan menyebabkan dendam antara satu sama lain.
"Junior yang dibuli akan membuli junior lain pada masa akan datang dan kitarannya silih berganti," katanya pada Ahad.
Pada 2 November lalu, seramai 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didapati bersalah atas pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Sementara itu, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim menjelaskan, setiap unit keluarga hendaklah berfungsi sebagai sebuah keluarga yang memainkan peranan tersendiri dalam pembinaan sahsiah seseorang sejak kecil.
Jelasnya, tahap keseriusan kes buli yang berlaku bergantung kepada kawal selia oleh keluarga sendiri dan fabrik jaringan sosial.
"Fabrik jaringan sosial terutama dengan cabaran maklumat di hujung jari hendaklah diperkukuh dengan mengambil kira pandangan dan pendapat remaja," ujarnya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram