Pendakian bertukar tragedi, remaja lemas di Tasik 3 Beradik


  • 112
  • Sabtu, 06 Nov 2021

PIHAK bomba menjumpai mayat mangsa pada pukul 12.55 tengah hari Sabtu. — Ihsan bomba

KEGEMBIRAAN sekumpulan 40 rakan melakukan aktiviti mendaki di Tasik 3 Beradik dekat Plentong, Johor Bahru, Johor bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas setelah terjatuh ke dalam tasik berkenaan pada Sabtu.

Komander Operasi Penolong Kanan Penguasa Bomba, Saiful Bahri Safar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa Mohamad Zarif Isyraf Zulkifli, 20, dipercayai terjatuh dari tebing berhampiran ketika sedang melintasi tasik berkenaan.

"Sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelemat (BBP) Johor Jaya dengan kekuatan tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan pada pukul 11.20 pagi.

"Mangsa cuba dibantu oleh rakan mangsa namun mangsa dikatakan kehabisan tenaga sebelum melepaskan pegangan lalu tenggelam ke dasar tasik," ujarnya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Saiful Bahri, usaha pencarian dan selaman pihak bomba dilakukan dalam radius 50 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan terjatuh.

"Mayat mangsa dijumpai oleh anggota pada pukul 12.55 tengah hari tadi pada kedalaman 12 kaki dalam jarak 30 kaki dari lokasi terakhir mangsa terjatuh dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pukul 2.30 petang tadi (Sabtu)," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bomba, johor jaya, operasi, lemas, tasik