Tunjuk hebat di jalanan, dua pemandu Honda Civic FD ditahan


  • 112
  • Sabtu, 06 Nov 2021

KEDUA-DUA kereta dilihat berlumba sesama sendiri di Paka, Kemaman, Terengganu pada Jumaat. — Ihsan PDRM

DUA pemandu kereta jenis Honda Civic FD ditahan selepas didapati berlumba sesama sendiri di Paka, Kemaman, Terengganu pada Jumaat.

Kedua-dua mereka serta seorang penumpang lelaki berusia 36 tahun ditahan pada pukul 2.23 pagi ketika memberhentikan kereta di hadapan sebuah kedai.

Mereka sebelum itu berlumba sesama sendiri dengan berulang-alik lebih kurang satu kilometer di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan menghala Kuala Terengganu berhampiran kawasan Loji Penapisan Minyak, Kerteh, Kemaman.

Perbuatan tersebut bagaimanapun disedari oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu (Skuad 42) yang sedang membuat risikan pemantauan samseng jalanan berhampiran kawasan berkenaan pada jam 1.45 pagi.

Ketua JSPT Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua buah kereta jenis Honda Civic FD dipandu dari Kerteh menghala Kuala Terengganu melalui Jalan Kuala Terengganu-Kuantan.

"Kesemua suspek bersama dua buah kereta Honda Civic FD itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan melulu dan membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Honda Civic FB, Paka, polis, Ismail Man