KWSP dijangka umum dasar mampan sektor berkaitan ESG menjelang akhir 2021


  • Bizz
  • Isnin, 08 Nov 2021

KWSP bakal mengumumkan rangka kerja dasar kemampanan sektor menjelang akhir tahun ini. —The Star

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan rangka kerja dasar kemampanan sektor menjelang akhir tahun ini yang akan dijadikan sebagai panduan pelaburan masa depan yang menepati amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Ketua Pegawai Pelaburannya, Rohaya Mohammad Yusof berkata, ESG terbukti menjadi kian penting dalam usaha pelabur membuat keputusan bagi mencapai peningkatan nilai selain mengurangkan risiko.

“Kami telah mengenal pasti tiga sektor penting dalam negara dan merangka dasar sektor serta isu yang turut berkaitan dengan perubahan iklim.

“Pasaran secara keseluruhannya akan memahami pemikiran serta bagaimana kami melihat ESG dalam sektor-sektor tertentu,” katanya pada acara Sustainable Finance Week Expo 2020 Dubai secara maya pada Isnin yang dihoskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Rohaya adalah salah seorang ahli panel pada sesi peringkat tertinggi yang bertemakan ‘How Malaysia has developed an Equity Market that Emphasises Sustainability’ (Bagaimana Malaysia Membangunkan Sebuah Pasaran Ekuiti Yang Menekankan Kemampanan).

Malah, katanya, terdapat banyak sesi libat urus sedang dijalankan dengan syarikat berkaitan bagi memahami tujuan mereka mengambil langkah ini berikutan perbezaan dari segi penerimagunaan ESG.

“Kami perlu memahami (mereka) dan sama ada mereka dapat mematuhi piawaian tertentu yang telah ditetapkan sebelum bertindak membuat pelaburan.

“ESG merupakan elemen perdana dan amat penting bagi pelabur seperti kami untuk mempertimbangkannya dalam sebarang pelaburan kami,” katanya.

Ahli panel lain pada sesi itu adalah Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Kim Eng Datin Ami Moris. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram