KERAJAAN digesa tampil dengan tawaran munasabah dalam isu melibatkan doktor kontrak dan tidak hanya mengambil solusi jangka pendek yang tidak sama sekali akan menyelesaikan masalah berkenaan.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar menyifatkan, keputusan kerajaan untuk memanjangkan tempoh kontrak kepada empat tahun seperti diumumkan dalam Bajet 2022 sebagai langkah yang tidak adil kepada doktor kontrak.
Tambahnya, kerajaan sepatutnya mempertimbangkan cadangan sesetengah pihak supaya skim pencen diubah kepada skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi lantikan tetap doktor kontrak.
"Mereka (doktor kontrak) nak lantikan tetap, bukan panjangkan lagi kontrak. Kerajaan patut bagi tawaran yang lebih baik, bukan setakat peluang untuk sambung belajar sahaja.
"Mereka ini sekarang gaji masih rendah, elaun tak dapat, cuti pula kurang... Jadi macam mana mereka nak sambung belajar? Saya lihat jalan penyelesaian yang diambil ini adalah terlalu mudah," katanya kepada Majoriti.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media yang mengatakan seramai 1,000 hingga 2,000 doktor kontrak mahu berhijrah ke luar negara kerana tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan terhadap mereka.
Katanya, tindakan doktor kontrak tersebut bakal memberi kesan jangka masa panjang kepada sektor perubatan tempatan kerana negara akan kekurangan tenaga kerja dalam bidang tersebut.
Selain itu, jelasnya, ini akan menyebabkan Malaysia kekurangan doktor pakar pada masa hadapan kerana tiada lagi doktor yang ada untuk dilatih menjadi pakar.
"Bukan itu saja, generasi akan datang juga tidak lagi berminat untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan kerana melihat kesukaran yang dialami oleh doktor kontrak.
"Sekarang mungkin 1,000 atau 2,000 doktor kontrak. Sekiranya isu ini berterusan, tidak mustahil lebih ramai lagi yang akan mengikut jejak mereka," katanya.
Dalam pada itu, Zainal Ariffin meluahkan kekecewaannya terhadap peruntukan yang diumumkan kerajaan kepada sektor perubatan dalam Bajet 2022 baru-baru ini.
Walaupun terdapat tambahan peruntukan kepada sektor perubatan, katanya, jumlah yang diumumkan itu masih lagi rendah berbanding harapan lima peratus daripada jumlah Pendapatan Negara Kasar (PNK), seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Apa yang ada sekarang ini kebanyakannya hanyalah top up untuk diberi kepada usaha memerangi Covid-19. Bagi perkhidmatan sedia ada, ia masih status quo," ujarnya.
Selain itu, beliau turut kecewa dengan tindakan kerajaan yang mengumumkan cukai untuk produk vape.
Katanya, cukai tersebut tidak memberi kesan yang besar terhadap pendapatan negara, sebaliknya hanya memberi kesan negatif kepada kesihatan masyarakat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram