GERAKAN Hartal Doktor Kontrak akan mengadakan satu lagi protes kerana mendakwa Bajet 2022 tidak menyelesaikan masalah doktor kontrak.
Sekretariat gerakan tersebut dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, pihaknya merasakan kerajaan tidak mengambil tanggungjawab penuh dalam menyelesaikan isu terbabit dengan tawaran yang tidak masuk akal yang diusulkan.
"Isu doktor kontrak dan masalah sistem kesihatan kita, yang akan menggadaikan masa depan kesihatan rakyat, rupanya tidak dipandang serius oleh Menteri Kewangan.
"Bajet 2022 yang diumumkan oleh Senator Tengku Zafrul Aziz pada 29 November 2021, langsung tidak menyelesaikan masalah doktor kontrak.
"Lima tahun dalam perbincangan, masih tiada penyelesaian," kata kenyataan itu.
Selain itu, tegasnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga langsung tidak memberikan sebarang bantahan kepada Kementerian Kewangan (MoF) berkenaan isu ini bagi membela hak para doktor kontrak.
Tambahnya, janji lantikan tetap dengan skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang seringkali disuarakan oleh kerajaan sebelum ini hanyalah 'umpan' supaya mereka berhenti bersuara.
"Dengan ini kami dari Gerakan HDK mengisytiharkan Hartal Doktor Kontrak 2.0 akan dilaksanakan sebagai tanda protes," jelasnya.
Ketika membentangkan Bajet 2022 pada Jumaat lalu, Tengku Zafrul menumumkan, kerajaan bersetuju untuk menyambung pelantikan secara kontrak lebih 10,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi selepas tempoh khidmat wajib selama dua tahun kepada maksimum empat tahun.
Tambah beliau, kerajaan turut bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan RM100 juta untuk menfaat 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian.
Pada 26 Julai lalu, gerakan itu melakukan satu perhimpunan aman di hospital-hospital kerajaan bagi menuntut pelantikan tetap bagi doktor kontrak dan baharu, hak gaji, serta kebajikan sama rata dengan doktor tetap. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram