SURUHANJAYA Sekuriti Malaysia (SC) melalui persidangan maya bersempena Ekspo 2020 Dubai berhasrat menonjolkan peranan kewangan Islam sebagai pengupaya bagi mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, selain kedudukan Malaysia sebagai penggerak awal dalam menyelaraskan pembangunan mampan terhadap kewangan Islam.
Persidangan itu yang akan diadakan pada 8 hingga 10 November 2021 adalah program utama pada Minggu Kewangan Mampan yang dianjurkan SC.
Minggu Kewangan Mampan berlangsung selama lima hari bermula 8 November bersempena pameran antarabangsa berkenaan.
Bertemakan Membolehkan Pembangunan Mampan Melalui Kewangan Islam, persidangan itu akan menampilkan sesi wawancara dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang akan berkongsi mengenai agenda kemampanan Malaysia, menurut SC dalam satu kenyataan.
Katanya, persidangan itu dijangka menarik penyertaan peserta dari seluruh dunia termasuk pengawal selia, pengantara sektor kewangan, pengurus dana, dan pelabur pasaran persendirian.
“Kewangan Islam menawarkan perkhidmatan kepada populasi yang lebih luas secara sama rata dan tidak lagi dianggap untuk orang Islam sahaja. Di peringkat dunia, industri kewangan Islam dijangka mencapai saiz AS$3.69 trilion menjelang 2024, meningkat daripada AS$2.88 trilion pada 2019 berikutan minat kukuh yang berterusan sebagai kaedah mengumpulkan dana dan pelaburan,” kata Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar.
Ekspo 2020 Dubai adalah ekspo dunia yang pertama diadakan di rantau Timur Tengah, Afrika dan Asia Selatan (MEASA).
Menurut SC, ia merupakan ekposisi global paling pelbagai setakat ini dengan melibatkan penyertaan 192 negara bermula 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram