BELANJAWAN 2022 dibentangkan pada Jumaat lalu ibarat 'peluru penabur' kerana tidak mencapai matlamat yang sewajarnya.
Menurut pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Dr. Barjoyai Bardai, kerajaan seharusnya menumpukan kepada dua matlamat penting dalam belanjawan berkenaan iaitu membantu kumpulan memerlukan dan mengeluarkan negara daripada kegawatan ekonomi.
"Kerajaan memperuntukkan RM9 bilion untuk membantu sembilan juta isi rumah berpendapatan bawah RM2,500 dengan memberikan bantuan sebanyak RM2,000. Bagi saya, jumlah itu agak kecil, tidak berbaloi kerana kadar kos sara hidup rakyat adalah RM2,530 sebulan.
"Dari segi matlamat untuk membantu kumpulan yang memerlukan, kerajaan cuba buat sedaya upaya tetapi tidak mencapainya dengan betul. Alasan kerajaan adalah mereka tidak memiliki kapasiti kewangan yang mencukupi.
"Berkenaan matlamat kedua, kerajaan tiada usaha khusus untuk mengeluarkan negara daripada kegawatan ekonomi seperti sebelumnya, misalnya melaksanakan dana khas sebanyak RM60 bilion seperti dilakukan pada 2009 bagi memacu ekonomi. Perkara itu tidak dilakukan hari ini.
"Belanjawan kali ini adalah populis iaitu belanjawan yang cuba memenuhi hasrat semua rakyat menerusi maklum balas orang ramai tetapi diberikan sedikit-sedikit seperti peluru penabur," katanya kepada Majoriti.
Pada Pembentangan Belanjawan 2022, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM332.1 bilion, nilai tertinggi dalam sejarah berbanding bajet-bajet sebelum ini.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr Abu Sofian Yaacob, kerajaan seharusnya memberi tumpuan kepada sektor ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat bagi mengurangkan perbelanjaan tidak perlu.
"Hutang kerajaan ketika ini meningkat lebih kurang 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Kerajaan seharusnya mengurangkan hutang berkenaan kepada 50 peratus.
"Apabila kerajaan meningkatkan nilai bajet, kerajaan terpaksa meminjam, ibarat gali lubang baharu, lubang lama belum timbus. Bagi saya, kalau terpaksa melakukan pinjaman atau menjual sukuk, konsep itu tidak betul.
"Sekiranya ekonomi sudah kukuh, keadaan kewangan negara sudah stabil, boleh berbelanja lebih. Jangan tambah hutang dan kurangkan perbelanjaan negara," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram