POLIS menafikan pihaknya tidak mengambil tindakan berhubung aduan tentang ancaman keselamatan yang dikatakan berpunca daripada masalah rumahtangga, seperti ditularkan menerusi media sosial Tiktok oleh seorang wanita menggunakan nama Zoeybaddiuskamaruzaman.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, semakan mendapati pengadu ada membuat aduan dengan menghubungi Balai Polis Kampung Rapat, Ipoh, Perak tentang sebuah kenderaan mencurigakan berlegar-legar di kawasan rumahnya kira-kira pukul 7.15 pagi pada Jumaat.
Jelas beliau, komen-komen negatif yang dilemparkan pengadu melalui video tersebut yang menyatakan pihak polis tidak mengambil tindakan terhadap aduan beliau, adalah tidak tepat dan tidak adil kepada pihak polis.
"Pegawai polis yang sampai di lokasi membuat pemantauan dan pemeriksaan di tempat kejadian serta mendapati tiada kenderaan mahu pun individu mencurigakan seperti aduan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
@zoeybaddiuskamaruzaman ♬ original sound - ZoeybaddiusKamaruzaman
Tambahnya, hasil semakan lanjut mendapati pengadu pernah membuat enam laporan polis berhubung masalah rumahtangga dan satu laporan polis tentang peranti komunikasi digodam pada tahun ini namun tindakan sewajarnya diambil terhadap kesemua laporan itu.
Mior Faridalathrash berkata, bagi memastikan keselamatan pengadu, pihak polis menghantar pegawai polis daripada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Ipoh ke rumah pengadu bagi membantunya namun wanita itu enggan memberikan kerjasama.
"Pihak polis daerah Ipoh juga menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengadakan lawatan kebajikan bersama ke rumah pengadu," menurutnya.
Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelak kekeliruan dan kegusaran masyarakat.
Video yang dimuat naik pada Jumaat itu memaparkan seorang wanita yang memegang bayi, mendakwa dia berasa terancam susulan masalah berkaitan rumahtangga dan tiada bantuan diterimanya setelah menghubungi balai polis berdekatan.
Video itu memperoleh lebih 900,000 tontonan, lebih 2,000 komen dan lebih 7,000 perkongsian. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram