Inovasi pekasam cendawan atasi lambakan


  • Bizz
  • Sabtu, 06 Nov 2021

RESEPI pekasam ikan yang dihasilkan oleh Nas Agro Farm diwarisi daripada ibu bapa pengasasnya, Nabil dan Surina. — Facebook

TERKILAN kerana terpaksa membuang begitu sahaja lambakan cendawan sebelum ini, menjadi pencetus idea kepada pasangan suami isteri yang mengusahakan tanaman cendawan di Kampung Jenderam Hulu, Sepang, untuk menghasilkan pekasam cendawan bagi tujuan mengelakkan pembaziran.

Bagi Nabil Sanusi dan Surina Saad, penghasilan pekasam cendawan sejak tahun lepas berasaskan resepi pekasam ikan yang diwarisi daripada ibu bapa mereka, memberi nilai tambah kepada perusahaan cendawan mereka Nas Agro Farm yang sebelum ini hanya tertumpu pada penjualan cendawan segar sahaja.

"Kalau musim hujan sebelum ini, kami akan susah hati kerana cendawan terhasil dengan banyak, khususnya cendawan tiram sehingga melebihi daripada tempahan yang diterima. Tempahan pekasam cendawan akan penuh ketika cendawan banyak terhasil pada musim hujan,” kata Surina.

Surina yang merupakan bekas akauntan di syarikat pengeluar kereta nasional negara berkata, pekasam cendawan yang dihasilkan menggunakan cendawan tiram, dijual pada harga RM10 bagi setiap pek 250 gram (g).

"Kita siapkan berdasarkan jumlah tempahan. Rata-rata pelanggan mengetahui melalui media sosial Facebook dan Instagram Nas Agro Farm,” katanya.

Dibantu lima pekerja, Nabil berkata Nas Agro Farm berkeupayaan menghasilkan 1,000 bongkah cendawan sehari dengan setiap bongkah boleh digunakan dalam tempoh tiga atau empat bulan sebelum diganti dengan bongkah baharu.

Nas Agro Farm mampu menghasilkan 100 kilogram (kg) atau tiga tan cendawan tiram setahun dan kini merupakan pembekal kepada tiga cawangan pasar raya terkenal dengan purata pendapatan RM30,000 sebulan.

Nabil berkata, cendawan tiram dijual pada harga RM12 sekilogram itu perlu ditempah dua hari sebelum mengambil tempahan bagi memudahkan proses pengasingan tempahan mengikut pelanggan dan jumlah tempahan.

Selain cendawan tiram, pasangan suami isteri itu turut menanam cendawan susu harimau yang mempunyai khasiat merawat masalah paru-paru dan sistem pernafasan, malah disenaraikan sebagai bahan aktif untuk perubatan tradisi di bawah Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) pada 2010.

Mereka turut menanam cendawan telinga kera dan cendawan Lingzhi di tujuh rumah cendawan yang terdapat, di Nas Agro Farm sejak 2007.

Pasangan berkelulusan Ijazah Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berusia 50 tahun itu pernah mengikuti kursus penanaman cendawan di Universiti Putra Malaysia.

Nabil berkata perusahaan cendawan mereka tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada kerajaan melalui agensi seperti Jabatan Pertanian.

"Setiap tiga tahun, kami akan menerima bantuan peralatan penanaman cendawan dalam anggaran harga kira-kira RM20,000,” katanya yang turut melahirkan hasrat untuk berkongsi ilmu penanaman cendawan bersama mereka yang ingin memulakan perniagaan itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Nas Agro Farm, pekasam, cendawan, lambakan,