Pelancong antarabangsa boleh ke Langkawi bermula 15 November


  • Primer
  • Jumaat, 22 Okt 2021

ISMAIL Sabri berkata, pelancong yang tiba melalui KLIA perlu menjalani ujian rapid molecular, manakala bagi yang terus ke Langkawi wajib menjalani RT-PCR Covid-19 pada hari kedua. — The Star

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelancong antarabangsa yang ingin ke Pulau Langkawi dibenarkan berbuat demikian bermula 15 November ini menerusi Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi.

Perdana Menteri berkata, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 pada Jumaat bersetuju dengan cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang dibentang Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), berhubung gelembung pelancongan itu yang perlu dipatuhi setiap pelancong.

Menerusi SOP gelembung tersebut, katanya, kumpulan sasaran adalah pelancong berkualiti selain individu yang telah lengkap vaksinasi Covid-19.

"Kanak-kanak di bawah umur 18 tahun wajib hadir bersama-sama ibu bapa atau penjaga masing-masing yang telah divaksin lengkap, manakala senarai negara yang dibenarkan tertakluk kepada Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Luar Negeri (KLN)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, tiada syarat kuarantin akan dikenakan dan setiap pelancong perlu tinggal sekurang-kurangnya tiga hari, menjalani ujian Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (PCR-RT), yang mana keputusan wajib dalam bentuk digital atau cetakan.

Ismail Sabri berkata, bagi pelancong yang melancong melebihi lima hari wajib melakukan ujian saringan pada hari kelima dengan semua kos ditanggung sendiri.

Menurut Perdana Menteri, setiap pelancong perlu memiliki perlindungan insurans minimum AS$80,000 (RM320,000), wajib menggunakan khidmat pelancongan berlesen di bawah MOTAC dan mempunyai pasport serta visa Pengisytiharan Kesihatan Aku Janji dan Indemniti, selain memuat naik dan mendaftar dengan aplikasi MySejahtera sebelum berlepas.

Ismail Sabri menjelaskan, pelancong yang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu menjalani ujian rapid molecular, manakala bagi yang terus ke Langkawi mereka wajib menjalani RT-PCR Covid-19 pada hari kedua.

"Sekiranya positif, pelancong akan terus dibawa ke pusat pengasingan/kuarantin atau hospital swasta mengikut kategori," katanya sambil menambah satu kumpulan lawatan adalah maksimum 20 orang dan perlu mempunyai seorang pemandu pelancong.

Bagi pelepasan pulang ke negara asal, ujarnya, pelancong perlu menjalani RT-PCR Covid-19 selama 72 jam sebelum berlepas dan sekiranya melancong selama tiga hari, keputusan ujian pada hari kedua boleh digunakan.

Katanya, projek rintis Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Pulau Langkawi akan dijalankan selama tiga bulan bagi membolehkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menilai keberkesanannya sebelum dilaksanakan di pulau-pulau peranginan serta kawasan pelancongan yang lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Covid-19, Langkawi, Ismail Sabri