Lagi insiden ikan siakap mahal di Langkawi, wanita berang dicaj RM1738.70


  • Tular
  • Jumaat, 05 Nov 2021

BIL yang dikongsikan oleh Niena ZM di media sosial. — Facebook

HARGA ikan siakap dicaj mahal di Langkawi, Kedah masih menjadi topik hangat di media sosial apabila seorang lagi wanita tampil dan berang setelah bil hidangan di sebuah kedai lain di pulau itu turut mencecah RM 1738.70.

Perkongsian yang dibuat oleh seorang pengguna Facebook, Niena ZM menceritakan pengalamannya sewaktu bercuti bersama keluarga di Pulau Langkawi, Kedah baru-baru ini.

Menerusi hantaran wanita berkenaan, Niena memberitahu, kejadian itu berlaku pada Rabu (3 November) menjamu selera di sebuah kedai makan terapung selepas menaiki bot untuk melihat keindahan alam di Kilim Geoforest Park.

"Secara logiknya, pemilik kedai akan memberitahu berapa harga ikan berdasarkan saiznya per gram supaya pelanggan dapat membuat keputusan untuk membuat pesanan atau tidak.

"Waktu kami nak order tu pun sepatutnya orang kedai boleh jelaskan dahulu berapa anggara harga makanan yang dipesan kalau betul berniaga secara telus. Kedai tomyam di Kuala Lumpur pun bagitahu saiz makanan dan harga serta memberi cadangan yang sesuai untuk pelanggan," katanya yang memesan makanan untuk 10 orang dewasa dan 11 kanak-kanak.

Bagaimanapun dakwanya, pekerja di restoran tersebut hanya mengambil pesanan tanpa memberitahu harga sebenar.

Menurut Niena, pihak restoran langsung tidak menunjukkan saiz ikan sewaktu mereka membuat pesanan.

"Kedai ada display harga segram, kami bukan argue ikan siakap tu RM160/kg. Kami mahu ketengahkan saiz ikan yang diberi itu adalah lebih besar sedikit daripada siakap biasa iaitu 5.2kg.

"Bila sampai, kami pun terpinga-pinga ikan itu boleh dibahagikan hidangannya kepada tiga pinggan. Masa tu dah rasa tak sedap hati tengok saiz ekor sahaja dapat agak saiz ikan.

"Udang dan sotong dicaj dalam resit 1kg walaupun kami tak minta sebanyak itu dan dihidangkan di dalam dua pinggang yang tidak sampai sekilo pun (boleh tengok video)," tulisnya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Walaupun makanan laut yang dihidangkan oleh restoran itu segar, tetapi Niena berpendapat masakan kedai tersebut kurang enak.

Jelasnya lagi, dia berkongsi pengalamannya di media sosial supaya tiada lagi orang yang menjadi mangsa di restoran itu sekiranya mereka benar-benar mahu makan di sana dan kurang berkemampuan.

"Kami highlight perkara ini supaya tiada yang terkena, terbayang kalau yang kena tu betul-betul tak mampu. Haih, macam mana lah kan.

"Untuk pemilik kedai yang bersubahat sekali menipu pengunjung tanpa rasa bersalah, semoga dibalas setimpal di dunia sebanyak orang-orang yang anda aniaya," ujarnya.

Majoriti pada Khamis melaporkan rintihan seorang pengguna Facebook, Muhammad Faris Zulkarnain yang terkejut apabila dicaj sehingga RM 1196.80 untuk sajian seekor ikan siakap.

Muhammad Faris mendakwa, kejadian itu berlaku pada Selasa (2 November) semasa dia dan keluarga serta rakan-rakan sekerja menjalani aktiviti menaiki bot (Mangrove Tour Langkawi) mengelilingi beberapa pulau dan tempat menarik di sana.

Dakwanya lagi, setelah selesai makan dan ikan yang ditempah masih berbaki separuh dan dibungkus, dia terkejut apabila mahu membayar di kaunter bil yang diberi tertera nilai RM1852.50 dan memandangkan dia tidak mempunyai wang tunai dan dana kad debit yang mencukupi, Muhammad Faris terpaksa membayar amaun tersebut dengan menggunakan kad kredit.

Pemilik restoran terbabit bagaimanapun tampil memberikan penjelasan bahawa pihaknya telah mencadangkan hidangan lain kepada pelanggan, namun pelanggan yang mahukan ikap siakap itu untuk dijadikan hidangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram