PENERIMA vaksin Sinovac yang enggan mendapatkan dos penggalak daripada vaksin jenis lain mungkin berpeluang menerima suntikan booster secara homologous jika ia diluluskan kerajaan tidak lama lagi.
Hal ini berikutan penawaran yang dibuat oleh syarikat Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menggunakan vaksin Sinovac sebagai dos penggalak.
Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Zulkarnain Md Eusope berkata, syarikat itu dalam peringkat akhir perbincangan untuk mendaftarkan vaksin Sinovac sebagai dos penggalak dengan Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan ia dijangka diluluskan tidak lama lagi.
“Kami berharap sebaik sahaja NPRA meluluskan permohonan itu, kerajaan akan memberi lampu hijau untuk vaksin itu digunakan sebagai suntikan penggalak bagi penerima Sinovac.
“Majoriti penerima Sinovac menerima dos kedua mereka antara Jun dan September. Oleh itu, keperluan untuk suntikan penggalak akan bermula dari Disember dan kami mempunyai dos yang mencukupi untuk memenuhi keperluan negara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Zulkarnain berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Ahli Jawatankuasa DAP Johor Dr Boo Cheng Hau, yang mendakwa sekurang-kurangnya 20 peratus penerima Sinovac menolak vaksin Pfizer yang kini digunakan sebagai suntikan penggalak.
Ini kerana katanya, penerima vaksin Sinovac berasa selesa dengan vaksin itu dan mahu vaksin jenis sama sebagai suntikan ketiga.
Sementara itu, Zulkarnain menegaskan bahawa vaksin Sinovac telahpun diluluskan untuk digunakan sebagai penggalak di China, Turki, Chile, Indonesia dan Kemboja, dengan tambahan enam lagi negara sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.
Ketika ini, vaksin tersebut telah diluluskan oleh NPRA untuk digunakan pada mereka yang berumur 12 tahun ke atas, tetapi mengikut pemberian dua dos asal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram