PENGAMAL perubatan swasta (PPS) menggalakkan penerima vaksin Sinovac yang layak untuk mengambil suntikan penggalak daripada jenis Pfizer memandangkan ia selamat seperti yang disyorkan oleh pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh berkata, adalah menjadi keperluan untuk dos penggalak diberikan kepada golongan tertentu seperti petugas barisan hadapan, petugas kesihatan serta pesakit yang menghidap penyakit kronik.
"Keputusan yang diambil kerajaan untuk melaksanakan pemberian booster secara heterologous (vaksin jenis berbeza) kepada golongan sasar termasuk warga emas ini adalah satu langkah wajar.
"Sama ada langkah ini terlalu awal untuk dilaksanakan, sukar saya jelaskan kerana pasti kerajaan tidak mahu tersilap langkah. Takkan nak tunggu ramai yang mati baru nak bagi booster," katanya kepada Majoriti.
Justeru, Kuljit berkata, rujukan dari masa ke masa terhadap data daripada kajian di luar negara dalam pelaksanaan pemberian dos penggalak secara heterologous ini amat penting.
Sebelum ini, Kumpulan Pakar Strategi Penasihat Imunisasi WHO (Sage) mengesyorkan agar kumpulan tertentu termasuk golongan bermasalah sistem imun terkompromi, menerima dos ketiga menggunakan mana-mana vaksin dalam Senarai Penggunaan Kecemasan WHO.
Ini kerana, menurut WHO, mereka cenderung untuk kurang menunjukkan tindak balas yang sepatutnya terhadap siri vaksinasi standard dan berisiko tinggi terkena penyakit Covid-19 teruk.
Sementara itu, Kuljit berkata, pengamal perubatan swasta bersedia untuk melaksanakan pemberian dos penggalak itu memandangkan mereka mempunyai kelebihan dari segi kapasiti ruang, kakitangan terlatih selain fasiliti penyimpanan vaksin bersesuaian.
"Apa pun, polisi dan hala tuju dalam program ini perlu datang daripada kerajaan. Dari segi kesediaan memang tiada masalah, malah kami amat berbesar hati untuk membantu melaksanakannya secara teratur dan lancar," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, Datuk Dr Anas Alam Faizli berkata, pihaknya menyasarkan penyertaan lebih banyak PPS dalam usaha meluaskan lagi capaian pemberian dos penggalak ke seluruh negara.
Beliau berkata, pihaknya juga akan terus komited membantu mengurangkan beban Kementerian Kesihatan bagi mempercepat dan memperluaskan capaian vaksinasi dalam pemberian dos penggalak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram