Imperia Asia International bantu pekebun cili jual hasil


  • Bizz
  • Selasa, 02 Nov 2021

IMPERIA Asia International membeli cili daripada penanam cili setempat untuk diproses menjadi cili kering premium. — Gambar Hiasan/Bernama

BERMULA dengan hanya menanam cili dalam 1,000 polibeg pada awal 2020, kini tanaman cili Imperia Asia International sudah mencecah 120,000 polibeg susulan permintaan menggalakkan.

Pengurus Projek Imperia Asia International, Amirul Syafiq Adnan, 35, berkata melalui projek penanaman cili di kawasan Teluk Intan, Perak itu, kini cili kering premium keluaran syarikat berkenaan sudah menembusi pasaran seluruh negara.

Syarikat pengeluar cili kering premium tempatan itu kini berupaya menjual antara 500 hingga 600 paket cili kering sehari secara dalam talian kepada pelanggannya di seluruh negara dan sejak jualan cili kering bermula Jun lepas, anggaran nilai jualan produk setakat ini adalah RM65,000.

"Kita secara rasmi mula menjual (cili kering) pada Jun (2021), dan semua bermula (penanaman dan penjualan) di Teluk Intan, Perak.

"Bila sambutan banyak, cili pula tak cukup. Alhamdulillah FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) bantu kami untuk menubuhkan RPKP (Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran), dan kita dibenarkan untuk menawarkan kontrak kepada peladang-peladang kecil sebab di kawasan Teluk Intan banyak peladang kecil,” katanya.

Amirul Syafiq berkata melalui kontrak berkenaan, syarikatnya membeli cili daripada penanam cili setempat untuk diproses menjadi cili kering premium.

Menurutnya, kontrak RPKP yang ditandatangani itu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak apabila Imperia Asia dapat bekalan cili dan pada masa sama memudahkan pekebun kecil memasarkan tanaman cili mereka.

Amirul Syafiq berkata melalui kerjasama dengan FAMA itu juga pihaknya sudah memulakan usaha untuk memasarkan produk cili kering premium keluaran syarikatnya ke luar negara.

Beliau berkata buat permulaan, syarikatnya akan memasarkan produk cili kering itu ke Korea Selatan, Hong Kong, Jepun dan Taiwan sebelum mengembangkannya ke negara-negara Timur Tengah.

"Jadi kita sedang berusaha mendapatkan segala pensijilan, status halal dan GMP (Amalan Pengeluaran Baik) untuk memastikan kualiti (cili kering) sentiasa terjamin. Kita nak pasarkan ke luar (negara) supaya satu dunia tahu cili Malaysia macam mana.

"Kita tidak mahu jual cili murah tapi mahu jual cili premium di luar negara, kalau kita boleh masuk ke pasaran negara maju lagi bagus,” katanya.

Amirul berkata produknya boleh didapati di kedai dalam talian Shopee, atau media social Facebook dan Instagram Imperia Asia Agro Farm. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram