SEBANYAK 1,000 gerai burger bakal dibuka di utara dan pantai timur sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda yang kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19.
Pengarah Urusan Murtada International Sdn Bhd, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusoff berkata, pihaknya menjangkakan pembukaan itu dilaksanakan pada 2023.
Menurutnya, menyedari banyak pihak terjejas dan kehilangan pekerjaan akibat pandemik, pihaknya menyediakan platform itu bertujuan membantu golongan terbabit bangkit semula setelah ditimpa musibah.
"Kita sediakan pekerjaan dengan gaji RM1,200 sebulan selain tambahan komisen melalui bilangan burger yang dijual, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)," katanya selepas melakukan pelancaran pembukaan 10 gerai burger sekitar Sungai Petani pada Ahad.
Pelancaran turut disertai pengasas Syukor Burger, Syukor Majid.
Mohammad Yaakub Yusra yang juga Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre (Madad) turut mengedarkan 2,000 burger percuma kepada orang ramai di hadapan premis Madad di Sungai Jagung bermula jam 3 hingga 6 petang. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram