TIGA tahun lepas, enam sekawan dari Felda Bukit Cerakah di Selangor ini hanya bekerja makan gaji dengan kerja masing-masing sama ada sebagai eksekutif akuan, peguam dan pemilik kedai makan.
Malah ketika itu tidak terlintas langsung di fikiran mereka untuk menceburi bidang pertanian yang sememangnya bukan kemahiran yang mereka kuasai atau pelajari.
Tapi segalanya berubah pada April 2019 apabila seorang negarawan mengadakan kunjungan ke kawasan bekas Felda Bukit Cerakah.
Mengimbas kembali detik itu, seorang daripada pengasas Projek Ilham, Nor Sabella Melan berkata kedatangan negarawan itu pada sesi lawatan pada 2019 ternyata menjadi detik besar dalam sejarah hidup mereka.
"Kami tidak pernah terfikir dalam sejarah hidup untuk terlibat dalam pertanian.
"Tapi ketika kedatangan negarawan itu, beliau cadangkan kami untuk buat sesuatu untuk majukan bekas Felda Bukit Cerakah.
"Malah ketika itu, beliau cabar kami untuk buktikan kemampuan. Beliau juga 'mengusik' semangat kami dengan berkata kami tidak mampu melakukannya," kata Sabella, enggan mendedahkan negarawan yang mengadakan lawatan itu.
Menyahut cabaran negarawan itu, Sabella bersama lima lagi rakannya duduk berbincang untuk memikirkan perniagaan yang mahu mereka usahakan bagi membuktikan kemampuan mereka.
Katanya, mereka terfikir sama ada untuk membuat inap desa atau terlibat dalam fertigasi.
"Selepas berbincang secara mendalam, kami pilih fertigasi walaupun tiada seorang daripada kami ada kemahiran atau pengalaman dalam bidang pertanian.
"Kemudian kami buat pilihan sama ada mahu menanam rodmelon atau cili.
"Selepas mengkaji data FAMA dan Kementerian Pertanian, akhirnya kami buat keputusan untuk mengusahakan tanaman cili secara fertigasi," kata wanita berusia 32 tahun itu.
CABARAN
Sebagai satu-satunya rakan kerjasama wanita, Sabella mengakui itu antara cabaran yang perlu dihadapi dalam mengusahakan perniagaan bersama golongan lelaki.
"Idea kena tolak itu perkara biasa, tetapi saya sentiasa berfikiran positif untuk ambil pengalaman dan betulkan kesilapan," jelasnya.
Selain itu, cabaran daripada persekitaran sekeliling juga sedikit sebanyak menguji kesabarannya untuk berjaya dalam dunia pertanian.
SABELLA bersama hasil cili variati Sakata 461.
Sebagai anak perempuan kedua daripada empat beradik, Sabella berkata keluarganya sendiri masih 'belum merestui' dengan keputusannya menceburi bidang tersebut.
"Mereka kata kenapa nak buang masa buat pertanian sedangkan saya sudah ada kerjaya sendiri?
"Sampai sekarang selepas tiga tahun, persepsi terhadap saya masih ada. Malah ada kawan-kawan sendiri yang kurang memberi kata semangat dan menyakitkan hati.
"Bagi mereka, ini hanya tanaman cili dan tidak ke mana pun," katanya.
Di sebalik aura negatif di sekeliling, Sabella berkata dia lebih bersemangat untuk berjaya dan membuktikan tanggapan mereka itu salah, sama seperti dia 'membalas' cabaran negarawan yang memberi ilham untuk terlibat dalam perniagaan.
"Misi kami adalah menjayakan syarikat, bukan diri sendiri dan ini yang saya mahu buktikan supaya orang luar nampak apa yang kami buat untuk syarikat.
"Kalau kami buat untuk diri sendiri, usaha ini tak ke ke mana, tetapi jika dapat majukan syarikat, ini baru kepuasan.
"Bila orang bagi reaksi negatif, memang kita rasa lemah, tetapi bagi saya, tunggu dan lihat. Biar keputusan jadi bukti," katanya.
TANPA pengalaman bukan masalah untuk pasukan Projek Ilham menceburkan diri dalam pertanian.
Dengan tiadanya kemahiran atau bakat, itu bukan penghalang buat Sabella bersama rakannya untuk menongkah dunia pertanian.
"Kami semua memang kosong bab pertanian tapi itu bukan alasan untuk berjaya.
"Musim pertama kami buat sendiri semua termasuk dari segi pemasangan dan tidak menggunakan pekerja luar.
"Kami belajar dari YouTube, banyakkan membaca dan melawat ke ladang lain untuk dapatkan idea.
SABELLA bersama rakannya menguruskan hasil kutipan untuk dipasarkan.
"Malah kami gunakan modal sendir tanpa harapkan sebarang bantuan untuk jayakan projek ini.
"Alhamdulillah, selepas 'try and error', kami berjaya mengharungi enam musim.
"Kami bermula dengan 4,500 polibeg dan kini kami sudah ada 10,000 untuk cili besar jenis Sakata dan 4,500 polibeg cili bara," jelasnya.
Kini, Sabella bersama Projek Ilham sudah memiliki beberapa aset termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda, tempat simpanan sejuk beku bersaiz kontena dan mampu menggaji tujuh orang pekerja.
ANTARA aset yang berjaya dimiliki Projek Ilham selepas tiga tahun terlibat dalam bidang pertanian.
Kesemua pekerjanya merupakan anak bekas Felda Bukit Cerakah.
"Kami bersyukur dengan kedatangan negarawan ke tempat kami untuk memberi ilham mewujudkan projek ini.
"Malah daripada ilhamnya itu, maka kami namakan syarikat ini sebagai Projek Ilham dengan misi mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak bekas Felda Bukit Cerakah.
"Projek Ilham amat bercita-cita besar iaitu mahu menjadi pembekal utama cili di Malaysia.
"Kami juga mahu buktikan anak Felda mampu berjaya tanpa mengharapkan bantuan daripada sesiapa selain berbakti kepada Felda kami sendiri.
PASUKAN Projek Ilham menjual cili kepada orang ramai di sekitar Kuala Lumpur.
STRATEGI PEMASARAN
Melalui kepakaran sebagai eksekutif pemasaran, Sabella berkata Projek Ilham mempunyai strategi pemasaran tersendiri untuk menjual produk mereka.
Dengan pengalaman pada musim pertama, Sabella berkata pasukannya belajar perkara utama dalam memastikan produk cili mereka terjual.
"Kami tidak jual semasa cili masak, tetapi merancang lebih awal ketika semai.
"Waktu semai, kita sudah mencari pelanggan dan maklumkan mereka bahawa kami mempunyai bekalan.
SABELLA bersama tuaian cili bara yang dihasilkan menerusi Projek Ilham.
"Jadi dalam tempoh tiga bulan sebelum menuai hasil, kami akan fokus kepada pemasaran," katanya.
Ini kerana katanya, pada musim pertama, Projek Ilham berdepan isu lambakan cili dan terpaksa jual secara terus kepada pelanggan.
"Kami pernah pergi pasar malam untuk jual, jual kat Chow Kit, jual kepada orang kampung dan saya sendiri bawa ke pejabat. Asalkan cili kami terjual.
"Malah ketika itu kami jual dengan harga RM5 sekilogram sebab waktu itu kami tidak mempunyai tempat simpanan sejuk dingin. Itu pengalaman yang sangat berharga dalam pemasaran pertanian," katanya.
PROJEK Ilham kini menganjurkan kursus pemasaran untuk golongan petani.
Sabella mengakui dia berasa seperti mahu mengalah apabila cili tidak terjual tetapi menguatkan semangat untuk meneroka teknik dan cara baharu pemasaran.
Faktor usia bukan alasannya untuk meneroka dunia digital dan sosial media dalam memastikan Projek Ilham mencapai sasaran sebagai salah satu pembekal cili utama dalam negara.
"Dalam pemasaran, kita kena kreatif. Selain Facebook, saya beranikan diri untuk membuka akaun TikTok bagi mempromosikan cili.
ANTARA aset yang berjaya dimilik Projek Ilham termasuk sebuah peti sejuk dingin bersaiz kontena.
"Alhamdulillah, sejak saya buka akaun itu, jualan cili naik 30 peratus, malah sampai tak cukup bekalan cili.
"Kini saya mahu teroka pasaran di Instagram dan saya percaya penggunaan media sosial mampu membuka pasaran produk kita dengan lebih luas.
"Dengan pengalaman ini, kami juga mengadakan kursus pemasaran kepada petani untuk mereka mengetahui cara terbaik memasarkan produk mereka.
"Bagi saya, pemasaran amat penting dalam menentukan kejayaan syarikat, kerana apa gunanya hasil yang banyak jika tidak terjual. Maka akhirnya ia akan berbalik kepada isu yang sering dihadapi petani iaitu isu lambakan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram