Pemancing terkejut jumpa mayat warga emas terapung bawah jambatan Jalan Dato Onn


  • 112
  • Jumaat, 05 Nov 2021

MAYAT ditemui orang ramai yang memancing berhampiran Pantai Lido. — Gambar hiasan

MAYAT seorang warga emas ditemui terapung di bawah jambatan berhampiran Jalan Dato Onn, Johor Bahru pada Khamis.

Pegawai Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Haizrul Rahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.57 malam Khamis.

“Mayat itu terapung kira-kira 5 meter di bawah jambatan dan pasukan penyelamat menggunakan tali untuk menaikkan mayat ke atas.

“Tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat dan ia telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya pada Jumaat.

Tambahnya, seramai tujuh anggota dikerahkan ke lokasi kejadian bersama sebuah trak bomba.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan laporan berhubung kes itu dan berkata siasatan masih diteruskan.

“Identiti mangsa masih disiasat dan kami masih menunggu laporan bedah siasat. Mayat ditemui orang ramai yang memancing berhampiran Pantai Lido,” katanya sambil menambah kes itu disiasat sebagai mati mengejut.

Mereka yang memerlukan bantuan dan kaunseling boleh menghubungi Perkhidmatan Sokongan Psikososial Kesihatan Mental (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999 atau WhatsApp 019-2615999); Pusat Jagaan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim (WhatsApp 0111-9598214); dan Befrienders Kuala Lumpur (03-7627 2929 atau semak www.befrienders.org.my/centre-in-malaysia untuk senarai penuh nombor dan waktu operasi). — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram