Teringin nasi minyak petanda pelik sebelum maut dihempap bangunan runtuh


  • 112
  • Khamis, 04 Nov 2021

MANGSA ditemui pada jam 8 pagi oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan itu. — Sinar Harian

SEORANG tukang cat maut selepas ditemukan orang awam di bawah runtuhan struktur bangunan dalam kejadian di Kampung Bukit Depu, Kuala Terengganu, Terengganu pada Khamis.

Mangsa, Ahmad Khairi Mohamad, 38, ditemui pada jam 8 pagi oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan itu.

Adik mangsa, Mohd Suhaimi Mohamad, 34, berkata, lokasi mangsa diketahui susulan penemuan motosikalnya yang diparkir berhampiran kawasan itu.

Selain penemuan motosikal, ibunya, Maimunah Abdullah, 69, turut meluahkan rasa tidak sedap hati selepas gagal menghubungi abangnya itu sejak petang Rabu.

"Dekat 20 kali emak menelefon abang sejak petang Rabu, namun tiada sebarang jawapan. Kami semua runsing kerana arwah jarang tidak mengangkat telefon," katanya.

Tambahnya lagi, dia tidak menyangka bahawa arwah ditimpa kemalangan.

Jelasnya lagi, dia mengetahui akan perkara itu kira-kira jam 9 pagi selepas ada pihak yang menularkan gambar penemuan motosikal dan mayatnya di media sosial.

Mangsa yang merupakan anak keenam daripada 12 adik beradik dipercayai berteduh di bawah struktur bangunan itu untuk berlindung daripada hujan lebat sebelum ditimpa kemalangan.

"Biasanya abang saya akan pulang ke rumah di Chendering selepas habis kerja jam 5 petang.

"Namun, arwah dipercayai singgah di kawasan itu untuk berteduh kerana hujan lebat sebelum ditimpa struktur bangunan yang telah reput," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kali terakhir dia bertemu abangnya itu pada malam Selasa lalu selepas diminta untuk menghantar nasi minyak.

"Abang saya belum berkahwin dan tinggal berseorangan di rumah pusaka di Chendering.

"Ketika bertemu pada malam Selasa lalu, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan hanya menyatakan keinginan kepada saya untuk makan nasi minyak," katanya.

Mayat Ahmad Khairi dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan akan dikebumikan malam Khamis. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram