Suspek cuba rempuh polis di Pasar Wakaf Bharu positif dadah jenis methapethamine


  • 112
  • Jumaat, 05 Nov 2021

TANGKAP layar insiden tembakan di Wakaf Bharu, Kelantan. — Facebook

POLIS terpaksa melepaskan satu das tembakan ke bahagian tayar sebuah kereta selepas pemandunya bertindak mengundurkan kenderaan untuk melanggar pasukan serbuan di tepi jalan berhampiran Pasar Wakaf Bharu, Kelantan pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, bertindak atas maklumat berkaitan dadah, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Unit Ronda Cegah Jenayah Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) Tumpat mengekori sebuah kereta jenis Proton Wira dari arah Tumpat menghala ke Wakaf Bharu.

"Setiba di tepi jalan berhampiran Pasar Wakaf Bharu, pihak polis cuba memberhentikan kereta itu namun suspek enggan memberikan kerjasama," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, suspek kemudiannya bertindak mengundurkan kereta berkenaan untuk melanggar pasukan serbuan.

Ujar beliau, pasukan serbuan terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar belakang sebelah kanan kereta tersebut.

Muhamad Zaki berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas tubuh badan suspek dan kenderaan berkenaan, pihaknya menjumpai 943 biji pil yaba yang dianggarkan bernilai RM9,430.

"Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methapethamine," katanya.

Menurutnya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 279 dan 307 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular di media sosial tentang rakaman video berdurasi 38 saat yang berkongsi detik kejadian tembakan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram