BAJET Malaysia bagi 2022 - yang terbesar pernah dibentangkan oleh kerajaan setakat ini - menumpukan pada pemulihan ekonomi dengan memperuntukkan bantuan kepada hampir kesemua segmen populasi dan perniagaan dalam usaha mengembalikan mereka ke tahap prapandemik.
Cabarannya sekarang ialah memastikan bantuan itu sampai kepada mereka yang disasarkan.
Bajet mengembang itu, bajet pertama dibentangkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, merangkumi antara lain bantuan kepada keluarga miskin dan pelajar, pelaburan dalam tenaga kerja, insentif serta pelepasan cukai bagi majikan dan pekerja, serta perbelanjaan pembangunan.
Bagaimanapun pakar berpandangan bantuan tersebut mungkin tidak mencukupi, mengambil kira terlalu banyak pihak yang mahu dibantu.
Menyifatkan bajet sebagai band-aid (plaster luka), pakar ekonomi Prof Dr Yeah Kim Leng mengakui kerajaan tidak mampu menyediakan lebih banyak bantuan kerana ketiadaan sumber dana berbanding negara maju.
Sehubungan itu katanya amat penting bagi kerajaan memastikan tidak ada golongan memerlukan tersebut yang tercicir daripada bantuan yang diperuntukkan.
"Bajet 2022 perlukan satu kaedah ‘sapu bersih’ agar mereka yang terkeluar daripada jaringan keselamatan sosial terangkum dalam kumpulan sasaran bantuan. Kita harus pastikan kita ada kemampuan untuk mengenal pasti golongan ini agar episod ‘bendera putih’ tidak berulang,” katanya.
'Bendera putih’ merujuk kepada satu gerakan yang berlaku semasa penguatkuasaan sekatan pergerakan berpanjangan bagi mengawal penularan Covid-19, yang menyaksikan sebahagian ahli masyarakat negara ini mengibarkan bendera putih di luar rumah mereka sebagai isyarat meminta bantuan demi kelangsungan hidup.
Yeah berkata bantuan kerajaan penting bagi membantu kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana kembali ke taraf hidup sebelum pandemik, selain memastikan mereka mampu kekal berada dalam keadaan itu.
Menurutnya, pandemik Covid-19 meluaskan lagi jurang kekayaan di antara golongan kaya dan miskin dengan sesetengahnya yang pada suatu ketika dahulu berada dalam kelas pertengahan kini tergolong dalam kelompok berpendapatan rendah.
Yeah berkata sekarang merupakan masa untuk mengesan dan mengenal pasti mereka yang memerlukan dan memastikan bantuan yang disalurkan itu tidak sia-sia.
"Perbelanjaan yang meningkat, walaupun baik bagi menyokong ekonomi, harus dipastikan kecekapan dan keberkesanan perbelanjaan itu serta memantau hasilnya agar kita mencapai matlamat untuk mengekalkan pemulihan dan momentum, dan paling penting, tidak ada yang tercicir,” katanya.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, penularan Covid-19 mengakibatkan jumlah isi rumah yang berada di bawah paras kemiskinan meningkat kepada lebih 600,000 berbanding 400,000 pada 2019.
Pada 31 Okt lepas, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja melaporkan 6.1 juta pencarumnya mempunyai simpanan persaraan kurang daripada RM10,000 dalam akaun masing-masing dengan lebih separuh memiliki tidak sampai RM1,000. Kerajaan sebelum ini membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan persaraan mereka itu untuk menangani kesan ekonomi akibat Covid-19. Sepanjang pandemik itu hanya kumpulan T20 mampu menyimpan.
Penyelidik bersekutu kanan di Institut Penyelidikan Khazanah Yin Shao Loong bersetuju langkah-langkah perlu ada bagi memastikan mereka yang memerlukan menerima bantuan, namun pada masa sama beliau bimbang bantuan itu terlambat sampai.
"Ada persoalan di sini, khususnya dalam konteks PKS (perusahaan kecil dan sederhana) kerana mereka menyediakan banyak pekerjaan. Berapa ramaikah daripada mereka yang sedang bergelut sekarang ini boleh bertahan hingga tahun depan untuk memanfaatkan program itu?” soalnya.
Tambah beliau, Covid-19 "membunuh” banyak perniagaan yang tidak mampu bertahan berikutan penguatkuasaan sekatan pergerakan yang berterusan. Setakat 28 Sept lepas, lebih 37,000 perniagaan terpaksa "gulung tikar” semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketiga yang bermula pada Mei tahun ini.
Beliau juga berkata kerajaan boleh lakukan lebih banyak lagi dalam membantu mereka yang memerlukan, sekalipun ini bererti merekodkan defisit yang lebih tinggi.
Bajet 2022 dianggarkan beroperasi pada defisit fiskal 6.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 6.5 hingga 7.0 peratus yang diunjurkan sebelum ini.
"Bajet defisit bukan satu masalah selagi defisit ditanggung untuk perbelanjaan produktif dan perbelanjaan itu masuk ke dalam jaringan keselamatan sosial yang membantu kelompok memerlukan. Ini kerana amat sukar untuk membantu mereka yang tersungkur bangun semula jika mereka baru mendepani bencana kesihatan,” katanya.
Menurutnya lagi, apabila angka itu dipecah-pecahkan, jumlah bantuan tersebut tidak sebesar mana, dan menambah bantuan boleh diberikan secara lebih bersasar kepada mereka yang memerlukan seperti golongan miskin, penganggur dan pelajar.
Aktivis masyarakat Datuk Munirah Abdul Hamid pula berkata perkara yang dibimbangkan bukan tentang bantuan tersedia tepat pada masa atau jumlahnya mencukupi, tetapi sama ada bantuan akan sampai kepada semua yang disasarkan.
Menurut Presiden Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) itu, berdasarkan pengalamannya, ramai yang disasarkan oleh program berkenaan tidak dapat memanfaatkan program tersebut kerana tidak dapat mendaftar disebabkan sama ada oleh kekangan pengangkutan mahupun liputan Internet.
Sesetengah daripada program itu pula mensyaratkan alamat kekal dan dokumen bukti yang menambahkan lagi kesulitan golongan tersebut untuk mendaftar.
"Kita tidak boleh syaratkan hanya yang berdaftar sahaja (dibantu) ... dan hanya yang layak. Bagaimana dengan yang tidak boleh memenuhi kesemua syarat pendaftaran? Kes kumpulan tercicir ini sentiasa berlaku,” katanya.
Beliau berkata kerajaan harus mempermudah proses mendapatkan bantuan selain bekerjasama dengan badan bukan kerajaan yang membantu komuniti tersebut.
Walaupun bajet itu mengambil kira masa depan dengan "melabur” dalam rakyat Malaysia melalui pemberian insentif dan subsidi untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran pekerja serta pembangunan teknologi, terdapat beberapa aspek terlepas pandang yang ketara.
Antara kumpulan yang berasa mereka dipinggirkan ialah penyedia perkhidmatan penjagaan golongan tua. Presiden Persatuan Pengusaha Rumah Orang Tua Malaysia (AGECOPE) Delren Terrence berkata bajet itu tidak menyediakan sebarang peruntukan bagi mempersiap Malaysia beralih kepada negara menua.
"Bajet ini tidak melihat sejauh mana masalah yang mungkin kita hadapi dalam penuaan. Di sini seakan ada kejahilan di pihak menteri kewangan tentang kesukaran yang akan kita hadapi dalam jangka panjang berhubung isu penuaan. Permasalahan ini akan timbul dalam jangka masa yang singkat kerana bilangan populasi berusia kita bertambah dengan kadar yang sangat cepat, dan menjelang 2030, jumlah warga emas kita akan meningkat tiga kali ganda berbanding sekarang,” katanya kepada Bernama menerusi WhatsApp.
Beliau berkata antara isu itu ialah bantuan kepada fasiliti yang menjaga warga emas, pelepasan cukai atau subsidi bagi keluarga yang mempunyai warga emas di rumah jagaan serta kekurangan penjaga yang diburukkan lagi oleh pandemik kerana ramai staf penjagaan kesihatan dipanggil membantu tenaga kerja sektor tersebut.
Menurut Jabatan Perangkaan, Malaysia berada di landasan untuk mempunyai 15 peratus populasinya berusia 60 tahun ke atas menjelang 2030.
Sekalipun ada faedah dan bantuan kewangan yang dirancang untuk warga emas dan isi rumah yang mempunyai warga emas, selain lebih banyak pembiayaan diberikan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, tidak ada sesuatu yang khusus peruntukkan bagi menunjukkan kerajaan sedang mempersiap peralihan Malaysia kepada negara dengan populasi menua.
Satu aspek masa depan yang cuba ditangani melalui bajet itu ialah komitmen untuk menjadi lebih 'hijau’ sebagai persediaan menghadapi perubahan iklim, yang dilihat melalui pemberian pelepasan cukai bagi pembelian kenderaan elektrik (EV).
Bagaimanapun Yin yang merupakan pakar dalam dasar perindustrian, perubahan iklim dan teknologi masa depan, berkata inisiatif pelepasan cukai untuk EV tidak mencukupi bagi menangani perubahan iklim.
"Ini satu gangguan kepada masalah sebenar kita. Kira-kira 28 peratus pelepasan gas rumah hijau kita datang daripada pengangkutan, dan 85 peratus daripada pelepasan pengangkutan ini pula adalah daripada pengangkutan darat. Angka ini mewakili satu per lima daripada keseluruhan pelepasan kita. Sejauh mana EV dapat menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas hijau kita?” soalnya, menambah adalah lebih baik jika EV digunakan untuk pengangkutan awam.
Buat masa ini, pengeluar kereta Malaysia tidak mengeluarkan EV, namun Perodua dan Proton pernah membayangkan mereka merancang untuk berbuat demikian pada masa depan.
Yeah yang juga pensyarah ekonomi di Sunway University, berkata pelepasan cukai EV boleh membawa ‘kesan bola salji’ dengan cara mempercepat penerimaan kenderaan jenis itu yang diharap dapat menarik rakan kongsi untuk membangunkan dan mengeluarkan EV yang bagus.
Beliau berkata Malaysia boleh menjadi sebahagian daripada rantaian EV dengan syarat kerajaan melabur dalam pembangunan infrastruktur.
"Langkah ini perlu disertakan dengan pelaburan yang besar untuk mengubah infrastruktur agar dapat mewujudkan peluang perniagaan baharu,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram