Pulau Langkawi dibuka kepada semua pelancong luar negara


  • Primer
  • Isnin, 25 Okt 2021

GELEMBUNG pelancongan antarabangsa Pulau Langkawi dilaksanakan bagi membantu memulihkan ekonomi rakyat yang terkesan. — Agensi

GELEMBUNG Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi, Kedah akan dibuka kepada semua pelancong tanpa dihadkan kepada mana-mana negara.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri, langkah itu diambil susulan terdapat prosedur ketat yang akan dilaksanakan bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 di pulau pelancongan itu.

"Prosedur ini termasuklah memastikan pelancong mesti datang menggunakan khidmat ejen pelancongan yang berdaftar dengan kementerian.

"Ejen ini yang akan mengatur semua perjalanan dan mereka tidak datang terus ke Langkawi secara peribadi. Ini mekanisme yang kita gunakan kerana kalau ada apa-apa terjadi seperti berlakunya kes, ejen itu yang akan bertanggungjawab,” kata beliau.

Nancy berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media mengenai sama ada kerajaan akan mengambil langkah sama seperti Singapura dan Thailand dalam mengehadkan kemasukan pelancong luar untuk ke negara mereka.

Tambah Nancy, gelembung pelancongan antarabangsa itu diperkenalkan bagi membantu memulihkan ekonomi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Jelasnya, kerajaan tidak boleh menunggu untuk tempoh lama bagi membuka sektor pelancongan kepada pelancong luar kerana ini akan menyebabkan lebih ramai penduduk tempatan kehilangan pekerjaan.

Ujar beliau, susulan itu, kerajaan perlu berfikir secara berilmiah dan munasabah supaya langkah yang diambil membawa kebaikan kepada semua.

"Pada masa sama, perkembangan di Langkawi ini akan menjadi model kepada kita untuk meneliti kelakuan pelancong dalam membantu membendung penularan Covid-19," katanya.

Beliau berkata, sejak pengumuman gelembung pelancongan itu baru-baru ini, banyak rumah inap desa di Langkawi menerima tempahan pelancong terutama dari Eropah.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi akan dimulakan pada 15 November dengan pematuhan beberapa prosedur operasi standard (SOP).

Kumpulan sasaran bagi gelembung pelancongan itu ialah pelancong berkualiti dan individu yang telah lengkap vaksinasi Covid-19. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram