KBS peruntuk RM25.5 juta perkukuh infrastruktur ICT


  • Podium
  • Jumaat, 29 Okt 2021

AHMAD Faizal berharap agar lebih ramai graduan ILKBS akan berada dalam tenaga kerja negara khususnya pekerjaan mendapat permintaan tinggi. — The Star

SEBANYAK RM25.5 juta bagi tempoh 2021-2025 diperuntukkan bagi memperkukuh infrastruktur Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) untuk modenisasi Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).

Perkara itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang turut menyatakan bahawa peruntukkan itu dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai menyokong inisiatif pendigitalan ILKBS bagi memenuhi keperluan Industri 4.0 serta ekonomi gig menjelang 2025.

Katanya, beliau berharap agar lebih ramai graduan ILKBS akan berada dalam tenaga kerja negara khususnya pekerjaan mendapat permintaan tinggi.

"Kita harapkan mereka (graduan) menjadi pilihan industri dan pekerjaan seperti seperti pakar kecerdasan buatan, jurutera robotik, saintis data dan bidang lain yang mampu menjana pendapatan serta meningkatkan ekonomi belia.

"KBS juga akan memperkukuh elemen kemahiran keusahawanan kepada pelajar dengan penambahan pelbagai elemen baharu seperti keusahawanan digital melalui kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC)," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian anugerah ILKBS 2020/2021 di Putrajaya pada Jumaat.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker.

Tambah beliau lagi, kementerian juga akan memperkukuh kolaborasi industri bagi memastikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) KBS kekal kompetitif, berdaya maju dan menjadi pilihan majikan.

Jelasnya, ia selari dengan cadangan Majlis TVET Negara (MTVET) untuk memperkasa bidang itu melalui tiga teras strategik iaitu tadbir urus bersepadu, TVET mencorak masa hadapan dan TVET dipacu industri.

"Melalui usaha pemerkasaan TVET, ILKBS melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyediakan tenaga mahir untuk keperluan industri.

"Dalam tempoh 2016-2020, ILKBS melatih 42,636 belia iaitu 24,005 orang melalui program sepenuh masa dan 18,631 orang melalui program latihan jangka pendek dalam pelbagai pendekatan,” ujarnya.

Hurainya lagi, bagi tempoh 2021 hingga 2025, KBS akan terus komited meningkatkan kualiti siswazah dengan sasaran gaji purata dari RM1,800 hingga RM2,000 melalui inisiatif pemerkasaan bidang TVET berasaskan industri dan pendigitalan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

KBS, belia, ILKBS, IKBN, IKTBN, TVET