PENUBUHAN Anjung Pembangunan Usahawan Gedong sejak 2018 dilihat mampu mempercepatkan tranformasi sosioekonomi dan menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh Sarawak.
Menjadi salah satu inisiatif kerajaan Sarawak, pengenalannya menyediakan pusat keusahawanan dengan menempatkan 22 ruang perniagaan untuk kemudahan penduduk di Gedong dan kawasan sekitarnya.
Pengerusi Koperasi Premier Gedong Berhad, Tambi Dan berkata, pusat berkenaan dilengkapi dengan kemudahan e-dagang untuk para usahawan dan turut menyediakan perkhidmatan pusat internet serta mesin ATM.
Tambi menjelaskan, anjung usahawan yang dibina Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) itu adalah bagi menggantikan ruang kedai lama sekali gus memberi wajah baharu kepada pusat berkenaan.
"Satu ruang yang diperuntukkan untuk mesin ATM juga memberi manfaat kepada penduduk di sini dan tidak perlu pergi jauh ke Serian, terletak kira-kira 30 kilometer(km) atau pekan Simunjan yang terletak kira-kira 22 km untuk mengeluarkan wang atau perkhidmatan lain yang tidak terdapat di sini," katanya.
Dengan adanya Anjung Pembangunan Usahawan Gedong, ia pasti beri manfaat kepada peniaga termasuk dikalangan mereka yang sudah pun mencapai statu warga emas.
Itu juga yang dilalui Jamilah Ibur, 59, yang nekas menjadikan bidang keusahawanan secara lebih serius dengan menjalankan perniagaan makanan di Anjung Pembangunan Usahawan Gedong.
"Saya sudah lama menyimpan niat untuk menjual makanan. Sudah lama juga mencari tapak untuk disewa di sekitar kawasan ini tapi susah nak dapat, jadi bila ditawarkan ruang berniaga ini, ia umpama pucuk dicita ulam mendatang.
"Lewat ataupun tidak (untuk berkecimpung dalam perniagaan) bukanlah menjadi persoalan besar. Yang pentingnya pendapatan dapat dijana dan pelanggan juga semakin ramai yang datang untuk menjamu selera terutamanya pada hujung minggu atau cuti umum," katanya.
Seorang lagi peniaga di Anjung Usahawan Gedong, Nur Faten Amira Mohd Johnson, 31, turut melahirkan rasa syukur dengan peluang yang diperolehi.
"Sebelum ini, saya hanya menjual kuih-muih, roti canai dan nasi lemak di rumah tapi keuntungan tidak seberapa berbanding bila mula berniaga di sini. Sekarang pendapatan memang syukur Alhamdullilah," katanya yang memulakan jualan di premis berkenaan sejak enam bulan lalu. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram